Thursday, August 24, 2017

SKIM THOHIR DAN BERZAKAT MELALUI CIMB CLICKS TINGKAT KESEDARAN PEMBAYAR ZAKAT

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) – Usaha meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai  tanggungjawab berzakat mencapai matlamat hasil pelaksanaan Kempen Skim Thohir 1.0 2017 (pemotongan gaji) dan kempen Berzakat  Menerusi CIMB Clicks yang diadakan baru-baru ini.

Melalui kempen yang diadakan pada April hingga Julai tahun ini, ia menarik minat 3,684 pembayar zakat pendapatan di Wilayah  Persekutuan menunaikan tanggungjawab itu berbanding hanya 758 orang dalam  tempoh yang sama tahun lepas tanpa diadakan kempen.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Mohd Rais Alias berkata peningkatan itu selain daripada kesedaran juga hasil daripada  pelbagai kemudahan untuk membayar zakat dengan pelaksanaan dua kempen berkenaan.

“Kempen Skim Thohir 1.0 2017 yang dijalankan pada April hingga Julai lepas berjaya menarik orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab Rukun Islam ketiga menerusi pemotongan gaji sekali gus dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan.

“Sambutan baik pada 2016 menjadi faktor pihak kami meneruskan kempen Skim Thohir pada tahun ini," katanya pada majlis penyampaian hadiah pelaksanaan Kempen Skim Thohir 1.0 2017 dan Kempen Berzakat Menerusi CIMB Clicks di sini, hari ini.



Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad Mohamad Safri Shahul Hamid dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman.

Mohd Rais berkata masyarakat Islam sebelum ini kurang menunaikan tanggungjawab membayar zakat pendapatan kerana kurang pemahaman berhubung kaedah dan cara pengiraan zakat harta dan pendapatan.

Sementara itu, Mohamad Safri gembira kerana CIMB dan PPZ- MAIWP dapat bekerjasama  dalam  kempen untuk membantu dan menggalakkan umat Islam berzakat.

“Pihak kami amat berbangga kerana diberi peluang untuk menjayakan kempen ‘Kempen Berzakat Menerusi CIMB Clicks’ yang merupakan tanggungjawab sosial CIMB sebagai sebuah daripada bank Islamik utama di rantau Asia," katanya.

Pada majlis itu, diumumkan 10 pemenang Kempen Skim Thohir 1.0 2017 dan 14 pemenang Kempen Berzakat Menerusi CIMB Clicks.



Pemenang utama Kempen Skim Thohir 1.0 2017 menerima hadiah pakej umrah bagi dua orang, pemenang kedua memenangi pakej percutian bernilai RM5,000 dan ketiga hadiah barangan elektrik bernilai RM3,000.

Bagi Kempen Berzakat Menerusi CIMB Clicks pula, pemenang utama menerima RM2,000 diikuti RM1,500 bagi pemenang kedua dan RM1,000 bagi pemenang ketiga.

Pemenang sagu hati masing-masing menerima hadiah RM500 setiap seorang.

Ketika ditemui, pemenang hadiah utama Kempen Skim Thohir 1.0 2017 Nor Asmah Che Mat, 48, dari Keramat, di sini  mengakui masih terkejut dengan kemenangannya.

"Saya mula melakukan pemotongan gaji bagi bayaran zakat bermula tahun 2014 apabila mendengar taklimat yang diadakan oleh pihak PPZ-MAIWP dan sama sekali tidak menyangka terpilih sebagai pemenang utama,"  katanya yang bercadang untuk membawa anak lelaki sulungnya Mohamad Zakuan Sulaiman, 24, untuk menunaikan umrah.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment