Friday, August 18, 2017

MUZAKARAH BINCANG ISU ARAHAN PERUBATAN AWAL DARI PERSPEKTIF ISLAM


 

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Perkembangan sektor perubatan yang menyaksikan semakin banyak negara maju melaksanakan Arahan Perubatan Awal (AMD) mendorong pakar akademik  negara membincangkan isu itu hari ini dalam konteks Islam dan etika.
AMD merupakan arahan bertulis berhubung amanat atau arahan pesakit mengenai bentuk penjagaan yang diingininya, atau pelantikan wakilnya, pada masa akan datang sekiranya seseorang hilang keupayaan kognitif untuk membuat sebarang keputusan.    
Menjelaskan isu itu,  Pengarah/Felow Kanan Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh berkata, arahan ini antaranya berhubung pilihan autonomi pesakit untuk menerima bantuan hayat sekiranya penyakit yang dialami berterusan menjadi serius dan harapan untuk sembuh tipis.     
"Kesedaran mengenai AMD semakin meningkat di negara kita walaupun tiada ura-ura ia akan dilaksanakan di negara ini dalam masa terdekat. Namun, untuk menyediakan masyarakat ke arah itu, IKIM mengambil inisiatif membincangkan perkara ini daripada perspektif Islam.   
 "Muzakarah ini adalah sebagai langkah proaktif untuk memberi input kepada pihak berkepentingan mengenai isu yang perlu diberi perhatian sekiranya AMD dilaksanakan di negara kita," katanya.
Beliau ditemui pada Muzakarah Pakar 'Kerangka Garis Panduan Fiqh Dan Bioetika Islami Terhadap Pelaksanaan Arahan Perubatan Awal (AMD)' anjuran IKIM dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad, hari ini.   
Katanya, hasil rumusan muzakarah akan didokumenkan, mungkin dalam bentuk laporan penyelidikan dan ia akan dihantar kepada pihak berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia.

 -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment