Saturday, April 29, 2017

PROTUNE, PPU KOMITED LAHIR USAHAWAN MUDA

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 
sentiasa komited dalam melahirkan generasi usahawan muda melalui Program Tunas Niaga 
(Protune) dan Program Perintis Usahawan (PPU) yang dikendalikannya sejak 1998.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof berkata ia merupakan program 
pembudayaan usahawan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang disediakan 
pihaknya di bawah seliaan Bahagian Pembangunan Usahawan.

"Program usahawan seumpama ini bertujuan memberi pendedahan tentang suasana 
perniagaan sebenar serta memberi peluang kepada  pelajar  merasai sendiri pengalaman 
berinteraksi dan berkomunikasi secara terus dengan pembeli," katanya kepada pemberita 
selepas merasmikan Program Promosi Jualan Protune dan PPU di sini hari ini.

Program selama empat hari  bermula Khamis lalu sehingga esok itu merupakan anjuran 
PKNS bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Seramai 192 pelajar dari 50 sekolah rendah dan menengah di seluruh Selangor terpilih 
menyertai program berkenaan.

Mengulas lanjut, Noraida berkata sejak mula diperkenalkan sehingga 2016, seramai 
20,650 pelajar dan 1,652 guru pembimbing telah mengikuti program Protune.

"Bagi program PPU yang diperkenal sejak 2007 pula, seramai 120 pelajar telah 
menyertai program itu yang antara lain melibatkan aktiviti penjualan produk di 
sekolah, kem PPU dan promosi jualan yang dijalankan bagi memupuk minat keusahawanan 
dalam kalangan murid sekolah rendah.

Beliau berkata, selain pelajar sekolah, PKNS turut menyediakan program keusahawanan 
bagi pelbagai peringkat umur dan bidang, antaranya program keusahawanan bagi golongan 
siswazah dan kontraktor.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment