Tuesday, October 24, 2017

Anjung PKNS Di Kota Damansara Dapat Sambutan Menggalakkan

SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Pusat Komuniti Kemasyarakatan yang diwujudkan di Kota Damansara hasil inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Pusat komuniti yang diikenali sebagai Pusat Komuniti 'Anjung PKNS' itu dirasmikan oleh PKNS pada 21 Okt lepas sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) perbadanan itu dalam membantu usaha memartabatkan pendidikan di peringkat sekolah.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS Ishak Hashim dalam satu kenyataan berkata pihaknya memberi peluang kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Semarak 1 untuk mengendalikan pusat berkenaan selama dua tahun.

"Bagi merealisasikan pengurusan Anjung berjalan lancar, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 meliputi bayaran kepada pengendali, utiliti, penyelenggaraan, program cuti sekolah dan kemasyarakatan.

"Operasi Anjung PKNS terbahagi kepada beberapa bahagian seperti kelas tuisyen yang dikhaskan kepada beberapa kelas iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Bermula Julai lepas, seramai 27 pelajar kumpulan pertama telah mengikuti kelas tuisyen peringkat UPSR dan seterusnya bertambah dengan penyertaan pelajar bagi peringkat PT3 serta SPM seramai 55 orang dengan jumlah tenaga pengajar seramai 14 orang.

Pusat komuniti yang siap dibina pada Mei 2017 itu turut memfokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan termasuk menawarkan kelas mengaji al-Quran, menjahit, dan seni silat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment