Saturday, October 21, 2017

Pengarah Syarikat Didenda RM17,000 Gagal Kemuka Penyata Cukai Syarikat

KUALA LUMPUR, 20 Oktober (Bernama) -- Dua pengarah syarikat didenda RM17,000 atas kegagalan mengemukakan penyata cukai dalam Borang C di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Wan Nasir Wan Mustafa dan Saiful Nizam Adnan masing-masing berusia 42 tahun merupakan Pengarah Syarikat Ratusan Digital Sdn Bhd, didapati gagal mengemukakan Borang C bagi Tahun Taksiran 2014 dan 2015 berdasarkan hasil penemuan siasatan yang dijalankan.

Tertuduh menghadapi 2 pertuduhan di bawah Seksyen 77A(1) dan Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membawa kepada hukuman denda tidak kurang daripada RM200.00 dan tidak melebihi RM20,000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku salah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin hari ini dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM8,000.00 penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan tahun taksiran 2014 terhadap Wan Nasir manakala hukuman denda RM9,000.00 penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan tahun taksiran 2015 terhadap Saiful Nizam.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa LHDNM Nurul Nasyrah Mohd Nasir dan Mohd Shafuddin Hasan dan tertuduh diwakili peguam Dinesh Nandrajog.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment