Monday, October 23, 2017

PKZ Pahang Juarai Kejohanan Badminton Piala Zakat 2017

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pasukan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menjuarai Kejohanan Badminton Piala Zakat 2017 pada pusingan akhir hari ini yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa, di sini.

Di atas kemenangan itu, PKZ Pahang membawa pulang Piala Pusingan Piala Zakat berserta hadiah iringan.

Tempat kedua pula dimiliki pasukan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), manakala pasukan dari Indonesia, Dompet Dhuafa Republika dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pula masing-masing memenangi kedudukan ketiga dan keempat.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Mohd Rais Alias berkata kejohanan itu yang mula diperkenalkan pada 2002 bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan kakitangan pusat zakat negeri melalui aktiviti sukan selain menjadi platform membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan zakat.

"Kejohanan kali ini juga turut mendapat penyertaan dua pasukan dari Indonesia iaitu Dompet Dhuafa Republika dan Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS), penyertaan mereka ini dapat merapatkan hubungan pusat zakat dari kedua-dua negara menerusi sukan dan dapat bertukar pandangan mengenai operasi dan pengurusan zakat di Malaysia dan Indonesia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kejohanan itu di sini hari ini.

Mohd Rais berkata kejohanan badminton itu juga memberi peluang kepada kakitangan pusat zakat dari seluruh negara membincangkan strategi untuk memperhebatkan hebahan zakat ketika waktu santai selepas berakhirnya kejohanan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment