Friday, October 20, 2017

Negara Perlukan 45 Peratus Pekerja Mahir Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 45 peratus pekerja mahir diperlukan menjelang 2030 bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi, kata Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka Datuk Saroni Judi.

Saroni berkata sehubungan itu tenaga mahir tempatan perlu dipertingkatkan dengan latihan yang berterusan supaya lebih kompetitif dalam pekerjaan serta mampu memiliki pendapatan lumayan.

"Usaha pemerkasaan bidang TVET (Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional) semakin diiktiraf masyarakat dunia kerana peranannya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Malaysia memiliki hampir 28 peratus pekerja mahir dan menyasarkan peningkatan jumlah itu kepada 35 peratus pada 2020, sementara negara maju seperti Switzerland memiliki hampir 50 peratus tenaga mahir,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaburan dalam bidang pendidikan penting bagi menambah baik kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan di mana kerajaan melalui Pembangunan Sumber Manusia memperuntukkan dana RM50 juta bagi mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, katanya kerajaan komited memastikan TVET dilaksanakan secara berkesan dengan mengiktiraf bidang tersebut sebagai teras ketiga dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.

No comments:

Post a Comment