Tuesday, October 3, 2017

Program #IDAREYOUChallenge2017 Dilancar Hari Ini

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) hari ini melancarkan program #IDAREYOUChallenge2017 untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menguruskan kewangan dan perlindungan insurans dalam kalangan generasi muda.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata kementerian itu menyambut baik inisiatif daripada sektor korporat untuk memupuk kepentingan mengadakan perancangan kewangan yang lebih baik dalam menyediakan diri mereka ke alam pekerjaan.

"Program ini memenuhi penilaian kementerian yang mana generasi muda tidak bergantung semata-mata kepada pengetahuan akademik tetapi juga bijak dalam pengurusan kewangan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat celik kewangan menjelang 2020,"katanya selepas melancarkan acara itu di sini hari ini.

Presiden LIAM Toi See Jong berkata LIAM mendekati generasi muda secara berterusan untuk mempertingkatkan pemahaman mereka dan menghargai insurans hayat.

"Ini penting bagi perkembangan komuniti berpendapatan sendiri dengan kemakmuran boleh dinikmati semua dan kami mahu generasi muda kita mula merancang untuk mempersiapkan keluarga mereka dengan masa depan yang lebih terjamin,"kata Toi.

Pelajar yang mengambil bahagian dalam acara itu akan diminta menyediakan sinopsis berkaitan mesej bertemakan 'What would you do to feel financially secure' dan peserta yang terpilih akan memuat naik video pendek yang memaparkan pelan pemasaran mereka sendiri sepanjang tempoh pertandingan berlangsung.

Juara akan menerima wang tunai RM15,000, pemenang kedua RM7,500 dan ketiga RM4,000.

Pendaftaran dibuka mulai hari ini bagi semua mahasiswa dan siswazah di Malaysia. Maklumat lanjut berhubung acara itu boleh diperoleh dengan melayari www.idareyouchallenge.com

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment