Friday, December 8, 2017

KL GATEWAY MALL AKAN CERIAKAN KANAK-KANAK DI UMMC SEMPENA KRISMAS

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) –  KL Gateway Mall akan menyerahkan ‘teddy bear’ sumbangan para pembeli-belah kepada Wad Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) pada 22 Dis bagi menyemarakkan suasana sambutan Krismas dan membawa keceriaan kepada kanak-kanak di hospital itu.
Dalam kenyataan di sini hari ini,  Suez Capital Sdn Bhd berkata anak patung beruang itu disumbangkan orang ramai di kotak pengumpulan teddy bear di Central Piazza pusat beli-belah berkenaan.
"Sebagai pusat beli-belah komuniti, kami memainkan peranan penting bagi memastikan komuniti di sekitar kawasan kami mendapat manfaat daripada aktiviti kami. Kami berharap sumbangan dan penyerahan teddy bear itu nanti akan menimbulkan suasana perayaan dalam kalangan kanak-kanak,” kata kenyataan itu.
Orang ramai dan para pembeli-belah yang ingin membeli dan mendermakan teddy bear bagi tujuan itu dialu-alukan berbuat demikian sehingga 20 Dis.
Sementara itu, sebagai sebahagian daripada sambutan musim cuti dan perayaan, pusat beli-belah berkenaan ditukar menjadi taman teddy bear dan Central Piazza pula dihiasi dengan seekor teddy bear gergasi serta pelbagai hiasan lain yang bertemakan teddy bear.
Terletak di Bangsar South, pusat beli-belah itu, yang menjadi sebahagian daripada projek pembangunan bersepadu KL Gateway, dimajukan Suez Capital Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Suez Domain Sdn Bhd.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment