Thursday, December 14, 2017

KUIS ANJUR ICONLEE2017, SELESAI PERMASALAHAN UNDANG-UNDANG, EKONOMI DAN PENDIDIKAN

SHAH ALAM, 13 Dis (Bernama) – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini menganjurkan Persidangan Undang-undang, Ekonomi dan Pendidikan Antarabangsa kali ke-2/2017 (ICONLEE2017) bertujuan mencari solusi secara ilmiah dalam pelbagai permasalahan mencakupi ketiga-tiga aspek berkenaan.

Bertemakan ‘Ke Arah Menggalakkan Pembangunan Mapan Melalui Pengukuhan Peranan Kerjasama Antarabangsa Asean’, sebanyak 65 kertas kerja dibentangkan oleh 65 wakil dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

Persidangan selama dua hari bermula di sini hari ini yang dikelolakan oleh Fakulti Syariah Undang-undang, Fakulti Pendidikan serta Fakulti Pengurusan dan Muamalah, KUIS dengan kerjasama Universitas Muhammadiyah, Metro Lampung, Indonesia itu dihadiri hampir seratus peserta dari institusi terlibat.

Timbalan Rektor Akademik dan Penyelidikan KUIS, Dr Mokmin Basri berkata objektif persidangan  berkenaan antara lain untuk mengumpul para ahli akademik, pembuat dasar dan cendekiawan dari negara serantau bagi berbincang serta mengupas idea-idea baharu dalam menangani isu berkaitan undang-undang, pendidikan dan ekonomi semasa.

“Pembentangan kertas kerja dan perkongsian idea serta solusi berkaitan isu-isu yang timbul juga secara tidak langsung membantu memperkasa ketiga-tiga bidang tersebut seterusnya dapat membangunkan ummah tidak kira peringkat nasional dan antarabangsa.

“Malah, persidangan yang masuk kali kedua penganjurannya selepas di Indonesia tahun lepas, diharap dapat menjadi platform kepada semua peserta untuk terus membuka ruang dan peluang dalam  mengembangkan agama Islam,” katanya dalam ucapan aluan pembukaan persidangan itu.

Perasmian ICONLEE2017 disempurnakan oleh Senator Prof Madya Dr Muhammad Nur Manuty, sebagai mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada majlis itu juga, tiga daripada 65 kertas kerja telah dipilih sebagai kertas kerja terbaik iaitu bagi  kategori Pendidikan, dimenangi oleh Naquiah Nahar dari Universiti Teknologi Malaysia dengan kupasan tajuk ‘Kompetensi Guru Pendidikan Islam Dalam Pengajaran Jawi di Sekolah Rendah’.

Manakala kertas kerja terbaik kategori Undang-undang pula adalah milik Mohd Kamarul Khaidzir Saadan Mohamad, Sabri Haron dan Mohd Rofaizal Ibrahim dari KUIS dengan tajuk ‘Hukum Transasksi Harta Orang Hilang Mengikut Perundangan Islam’.

Bagi kategori ekonomi pula, kupasan ‘Issues in Corporate and Syariah Governance Practice in Islamic Financial Instituition: What went wrong?’ oleh Surianom Miskan dari KUIS dipilih sebagai kertas kerja terbaik.

Pemilihan dan penilaian kertas kerja itu dibuat oleh Panel Penilai Kertas Kerja Terbaik KUIS.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment