Tuesday, March 15, 2022

EMGA MENJADI PENASIHAT BERKAITAN PEMEROLEHAN HUTANG BTG PACTUAL SEBANYAK USD200 JUTA DARIPADA JICA

LONDON, 14 Mac (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Emerging Markets Global Advisory Limited (EMGA), bank pelaburan khusus yang memberi tumpuan kepada pasaran baru muncul, hari ini mengumumkan satu lagi urus niaga pengumpulan modal Hutang Senior penting yang akan membolehkan BTG Pactual meneruskan pengembangan aktiviti pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Brazil.

Kemudahan hutang sebanyak USD200 juta tersebut diberikan oleh JICA dan urus niaga itu merupakan susulan daripada dua kemudahan pembiayaan daripada DFI sebelum ini yang masing-masing berjumlah USD140 juta dan USD300 juta yang EMGA turut menjadi penasihatnya.

Seorang jurucakap JICA berkata, “Hasil daripada sokongan EMGA, kami akan bekerjasama dengan Banco BTG Pactual S.A. bagi menangani jurang pembiayaan untuk perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) di Brazil. BTG Pactual merupakan antara yang pertama memperkenalkan platform digital yang menawarkan penyelesaian kewangan kepada perniagaan di seluruh negara tersebut. Dengan platform digitalnya yang telah tersedia bagi menyokong operasi pemberian pinjaman, Banco BTG Pactual S.A. boleh memperluaskan kredit dengan cekap ke Wilayah Timur Laut dan Utara yang hanya memiliki bilangan institusi kewangan yang terhad yang beroperasi secara aktif untuk memberi perkhidmatan kepada perniagaan pada masa ini.”

Sajeev Chakkalakal, Pengarah Urusan merangkap Ketua Perbankan Pelaburan EMGA berkata: "Ia merupakan sesuatu yang mengembirakan apabila dapat membantu pasukan BTG sekali lagi dengan menjadi penasihat berkaitan kemudahan tambahan ini yang bertujuan untuk membiayai portfolio pinjaman perusahaan kecil dan sederhana BTG di seluruh Brazil. JICA ialah rakan kongsi EMGA yang penting dan kedudukannya sebagai institusi kewangan pembangunan yang terkemuka turut menawarkan satu lagi sumber pembiayaan jangka panjang strategik yang baharu untuk BTG.”

Jeremy Dobson, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pembangunan Perniagaan EMGA menambah: “Pasukan kami gembira dapat bertindak sebagai penasihat sekali lagi kepada BTG dan tidak sabar untuk menyaksikan kejayaan mereka yang berterusan.”

BTG Pactual: BTG ialah bank pelaburan terbesar di Amerika Latin, bank yang ke-6 terbesar di Brazil dari segi ekuiti pemegang saham serta merupakan syarikat utama dalam menyediakan pinjaman dan jaminan kepada kumpulan pelanggan yang luas yang merangkumi PKS hingga syarikat-syarikat besar. BTG ialah perintis dalam mempromosikan kewangan iklim di Brazil dan memainkan peranan penting dalam menyalurkan sumber kepada projek yang memberi impak positif kepada komuniti. 

JICA: Japan International Cooperation Agency (Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun) merupakan sebuah agensi kerajaan yang menyampaikan sebahagian besar Bantuan Pembangunan Rasmi untuk kerajaan Jepun. Ia mempunyai piagam untuk membantu pertumbuhan ekonomi dan sosial di negara-negara membangun serta menggalakkan kerjasama antarabangsa.

Emerging Markets Global Advisory Limited (EMGA) yang memiliki pejabat di London dan New York, membantu institusi kewangan dan badan korporat yang mencari modal ekuiti atau hutang baharu. Pasukan berbilang negara EMGA menggabungkan pengalaman selama berdekad-dekad yang diperlukan untuk menyelesaikan urus niaga bagi pihak pelanggan mereka dalam pasaran baru muncul dan ekonomi sempadan dunia, termasuk Brazil yang kekal sebagai pasaran utama. Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam pembentukan modal dan nasihat strategik sepanjang kitaran ekonomi yang pelbagai, EMGA terus mengembangkan capaian geografi dan penawaran perkhidmatannya, mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran sebagai salah sebuah bank pelaburan khusus yang terkemuka dalam industri yang memberi tumpuan kepada pasaran baru muncul. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15667

No comments:

Post a Comment