Saturday, March 12, 2022

WEBINAR "PEMBANGUNAN KANDUNGAN DIGITAL KE ARAH MELAHIRKAN GENERASI BERMINDA ISLAMI"

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Webinar bertajuk “Pembangunan Kandungan Digital Ke Arah Melahirkan Generasi Berminda Islami” dengan menampilkan pakar-pakar berwibawa di dalam bidang-bidang seperti pendidikan dan pembelajaran, pendidikan awal kanak-kanak, kemasyarakatan, penulisan kreatif dan industri teknologi animasi. Webinar ini telah membincangkan: (i) pengaruh dan kesan kandungan digital kepada perkembangan minda kanak-kanak; (ii) ciri-ciri kandungan digital yang sesuai dan dapat membentuk minda Islami kanak-kanak; dan (iii) beberapa perkongsian pengalaman oleh industri teknologi digital animasi dalam membangunkan kandungan digital yang sesuai untuk perkembangan minda kanak-kanak.

Webinar ini telah berlangsung selama setengah hari secara dalam talian dan ia turut disiarkan secara langsung kepada umum melalui laman web TVIKIM dan Laman Facebook IKIM. Untuk makluman juga, program webinar ini telah ditaja oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Di antara para pembentang yang dijemput ialah Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI, Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pensyarah Kanan Kuliyyah Pendidikan, UIAM , Pn. Hajah Siti Fatimah Abdul Rahman, Felow Kanan IKIM,  Encik  Karyabudi Mohamed Aris, dari syarikat Les Copaque Production Sdn. Bhd. dan Encik Nabil Baharom, Pengarah Mina Mila, Durioo Sdn. Bhd. 

No comments:

Post a Comment