Saturday, March 12, 2022

FOURKITES MEMPERKENALKAN INISIATIF SIFAR BERSIH YANG TEGUH PADA ACARA KELESTARIAN RANTAIAN BEKALAN GLOBAL TERBESAR DUNIA DI AMSTERDAM

Sebagai sebahagian daripada inisiatif global, FourKites mengumumkan Hab Kelestarian, yang menawarkan penjejakan pelepasan granular, penanda aras industri, analitik dan pemodelan senario untuk membantu pelanggan mencapai matlamat kelestarian

AMSTERDAM, 11 Mac (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) --
 FourKites, penyedia platform kebolehlihatan rantaian bekalan secara masa nyata yang terkemuka dunia, hari ini mengumumkan inisiatif Sifar Bersih baharunya untuk membantu syarikat terkemuka dunia mencapai matlamat organisasi mereka bagi mengurangkan pelepasan rantaian bekalan. Sebagai sebahagian daripada pengumuman ini, FourKites memperkenalkan Hab Kelestarian, iaitu satu pakej alat analitik untuk menyediakan kebolehlihatan yang lebih baik bagi penggunaan sumber dan penghasilan sisa; Lembaga Penasihat Kelestarian baharu; dan penyelidikan asli yang berterusan dalam isu kelestarian.

Hab Kelestarian merupakan fasa terbaharu bagi fokus berterusan FourKites untuk membantu syarikat mengukur usaha kelestarian melalui teknologi dan kerjasama. Platform ini merangkumi alat dan keupayaan baharu yang membolehkan pelanggan untuk:
  • Memasukkan matlamat kelestarian mereka dan menjejak pelepasan yang disimpan dengan lebih tepat
  • Menanda aras kemajuan berbanding dengan purata industri berdasarkan matlamat organisasi dan data industri tanpa nama
  • Meneliti perincian pada peringkat beban tambahan untuk mengenal pasti peluang untuk pengoptimuman dengan lebih baik
  • Menjejaki kemajuan melalui papan pemuka ringkasan tunggal
  • Menggunakan analitik dan pemodelan senario untuk memaparkan pemahaman baharu bagi pengurangan pelepasan
Hab Kelestarian dibina berasaskan Papan Pemuka Kelestarian syarikat itu yang pertama dalam industri. Ia merupakan penyelesaian percuma yang membolehkan syarikat-syarikat mengenal pasti bahagian tertentu dalam rantaian bekalan mereka yang menyumbang kepada tahap pelepasan gas rumah hijau yang tinggi supaya strategi kelestarian yang lebih berkesan dapat dibangunkan.

Pengumuman itu bertepatan dengan Sidang Kemuncak Kelestarian Rantaian Bekalan Global FourKites 2022 (2022 Global Supplu Chain Sustainability Summit) yang menghimpunkan lebih 4,000 eksekutif rantaian bekalan dan pemimpin pemikiran kelestarian daripada organisasi termasuk Sony, DHL, Future Planet, Volvo Group dan lain-lain, untuk membincangkan cara bagi memacu kesan positif terhadap alam sekitar melalui transformasi rantaian bekalan. 

Menurut Gartner, “Kita tidak boleh mengukur agenda kelestarian tanpa teknologi. CSCO menjangkakan tumpuan terhadap pendigitalan akan meningkat. Sebanyak 72 peratus daripada mereka menyatakan bahawa perusahaan akan terus mendigitalkan dan menyepadukan teknologi baharu, yang bermakna rantaian bekalan perlu sentiasa disesuaikan.”* Bagi tujuan itu, FourKites terus memacu inovasi dalam industri dan memudah cara perbincangan dalam kalangan pihak berkepentingan utama di seluruh industri demi membantu syarikat mencapai matlamat kelestarian jangka panjang mereka.

“Kami mula menggunakan FourKites beberapa tahun lalu kerana kami tahu pentingnya untuk mempunyai kebolehlihatan ketika transit,” kata Paul Avampato, Ketua Logistik Antarabangsa bagi Penjagaan Pakaian dan Rumah di Henkel. “Kini kami menggunakan data itu untuk memacu kecekapan dalam rantaian bekalan kami dan membantu mencapai matlamat kelestarian kami.”

Hab Kelestarian ialah komponen terbaharu bagi strategi pelbagai aspek FourKites untuk membantu pelanggan mencapai matlamat kelestarian mereka. Program dan penyelesaian lain termasuklah:
  • Dynamic YardSM, sebuah kategori perisian baharu yang menghubungkan perisian pengurusan halaman tradisional dan terpisah dengan data rantaian bekalan masa nyata FourKites dan ramalan masa ketibaan untuk memberikan cerapan tentang pola kelewatan pemandu, kecekapan buruh dan pelbagai lagi untuk mengurangkan lengah dan memaklumkan strategi pengurangan karbon. Pada suku terakhir 2021, pelanggan yang menggunakan Dynamic Yard melepaskan kurang 20% karbon berbanding bukan pengguna Dynamic Yard melalui pengurangan masa melahu trak.
  • Pusat Kecemerlangan Kelestarian FourKites, sebuah majlis kepimpinan pemikiran yang dikhaskan untuk mempromosikan kelestarian di seluruh rantaian bekalan dari hujung ke hujung melalui strategi yang boleh diambil tindakan dan berasaskan data.
“Kelestarian ialah prinsip teras bagi falsafah kami di FourKites, dan kami sangat fokus pada usaha membolehkan pelanggan Fortune 1000 kami menyematkan kelestarian dalam setiap peringkat rantaian bekalan mereka,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FourKites, Mathew Elenjickal. “Saya amat berbangga dengan pasukan kami yang memacu agenda kelestarian untuk industri ini dan membantu pelanggan kami memberikan impak yang bermakna terhadap alam sekitar.”

*Gartner, “CSCO Response to Environmental Sustainability Trends for Supply Chain in 2022,” Sarah Watt, Laura Rainier, Heather Wheatley, Simon Bailey, Andrew Stevens, Kristin Moyer. Diterbitkan pada 24 Januari 2022.

Perihal FourKites
FourKites® ialah platform kebolehlihatan rantaian bekalan #1 di dunia, yang memperluas kebolehlihatan melangkaui pengangkutan ke lapangan, gudang, kedai dan seterusnya. FourKites menggabungkan data masa nyata dan pembelajaran mesin yang berkuasa untuk membantu syarikat mendigitalkan rantaian bekalan mereka dari hujung ke hujung dan menjejak lebih 2.5 juta penghantaran setiap hari merentasi jalan raya, rel, laut, udara, bungkusan serta kurier, dan menjangkau lebih 185 buah negara. Lebih 1,000 jenama paling terkenal di dunia — termasuk 9 daripada 10 CPG (barangan pengguna yang dibungkus) teratas dan 18 daripada 20 syarikat makanan dan minuman teratas — mempercayai FourKites untuk mengubah perniagaan mereka dan mencipta rantaian bekalan yang lebih tangkas, cekap dan lestari. Untuk mengetahui lebih lanjut, lawati https://www.fourkites.com/

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15659

No comments:

Post a Comment