Tuesday, April 2, 2019

Fusionex taja RM50,000 bagi 'program khidmat masyarakat perubatan 3H' Kelab Rotari KL


KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pembekal teknologi data, Fusionex telah menyumbang RM50,000 kepada Kempen Kesedaran Kesihatan 3H, anjuran Kelab Rotari Kuala Lumpur (RCKL) DiRaja.

Menurut Fusion dalam satu kenyataan di sini, kempen yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang '3H' atau ‘tiga yang tinggi’, iaitu tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan gula darah tinggi.

“Kementerian amat berbangga dengan inisiatif yang diambil oleh Kelab Rotari ini, kerana ia sejajar dengan Pelan Strategik Kementerian untuk Penyakit Tidak Berjangkit, bagi meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta dan NGO untuk meningkatkan kesihatan rakyat,” kata Dr Dzulkefly dalam kenyataan itu.

Majlis pelancaran kempen itu di Kompleks Perpustakaan Lembah Pantai turut dihadiri pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex Datuk Seri Ivan Teh yang menyampaikan cek sumbangan semasa acara tersebut.

Fusionex adalah rakan utama bagi program itu yang bertujuan mendidik orang ramai melalui sebuah van Khidmat Masyarakat Perubatan Bergerak yang dikendalikan oleh kalangan profesional perubatan. Van itu akan melawat sekolah, kolej, pusat beli-belah dan pusat komuniti di seluruh negara bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan untuk orang ramai.

Acara itu telah menyaksikan hampir 400 orang awam menjalani pemeriksaan kesihatan percuma termasuk ujian Indeks Jisim Tubuh, tekanan darah, gula darah dan jumlah kolesterol. Ujian kesihatan itu dijalankan oleh jururawat sukarela dan program itu dijangka berjalan selama dua tahun.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://www.fusionex-international.com.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment