Wednesday, April 10, 2019

INSENTIF SENI JKKN: KOMITED MEMBANTU INDUSTRI SENI BUDAYA

ALERT : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menawarkan (4) empat Insentif Seni kepada semua penggiat seni budaya di Malaysia bermula April 2019.

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Demi menyemarakkan industri warisan seni tradisional di Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia terus komited dalam membantu dan memberi peluang serta ruang kepada penggiat-penggiat seni budaya di Malaysia untuk menyerlahkan bakat dan kepakaran mereka kepada masyarakat.

Bermula pada tahun ini, JKKN telah mengambil inisiatif memberi bantuan seni dan budaya kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) memandangkan NGO Kebudayaan sangat penting dalam pembangunan seni budaya negara. Tujuan insentif ini diadakan ialah untuk memberi sokongan, dorongan dan galakan kepada penggiat seni bagi menghasilkan sesuatu karya atau produk yang melibatkan kos yang rendah tetapi berimpak tinggi sekaligus menggalakkan kandungan tempatan yang baharu. Selain itu juga penggiat seni persembahan dan permainan tradisional untuk terus bergiat aktif di samping membangun dan meningkatkan bakat serta kemahiran ke arah menghasilkan karya bermutu dan berkualiti. Melalui jaringan kerjasama juga seperti penyediaan tempat persembahan adalah salah satu bentuk bantuan yang ditawarkan untuk memberi peluang kepada mereka berkarya.

Antara Insentif seni yang ditawarkan oleh JKKN adalah berbentuk kewangan, ruang, kepakaran atau khidmat nasihat dan promosi melalui medium digital dan media sosial terus kepada mereka dengan kriteria seperti visi, idea dan konsep yang jelas dan mapan, tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama dan juga tidak bersifat provokatif yang boleh mengancam keselamatan negara. Selain itu, penggiat seni perlu menunjukkan kaliber yang meyakinkan beserta butiran terperinci seperti aktiviti dan anggaran kos yang relevan. Penggiat juga perlu merangka aktiviti atau karya seni bagi kepentingan masyarakat atau sekurang-kurangnya untuk komuniti seni itu sendiri dengan menyatakan potensi pulangan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagi yang berminat terhadap insentif ini, mereka perlulah mempunyai Pertubuhan atau kumpulan yang berdaftar dengan Pertubuhan Malaysia (ROS) mengikut akta pendaftaran Pertubuhan 1966 atau berdaftar dengan mana-mana pihak yang berkuasa. Persatuan seni budaya juga perlulah mempunyai kumpulan sasar kepelbagaian kaum tetapi tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta bukan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi. Hala tuju yang jelas dan mempunyai manfaat serta kesan kepada masyarakat adalah digalakkan supaya tujuan insentif ini mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

“Kami berharap dengan adanya empat (4) insentif seni ini dapat membantu penggiat-penggiat seni, badan bukan kerajaan dan juga individu yang memerlukan bantuan dan khidmat daripada JKKN demi merealisasikan impian dan hasrat untuk mengadakan persembahan atau aktiviti seni budaya.

“Sebagai permulaan, insentif ini akan dinilai dari pelbagai sudut dengan syarat mereka mempunyai pertubuhan atau persatuan yang berdaftar dengan Pertubuhan Malaysia (ROS) dan menyediakan dokumen yang lengkap sebelum diproses oleh pihak urusetia penilaian,” kata Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli dalam satu kenyataan.

Badan bukan kerajaan atau pengiat seni boleh terus menghubungi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara melalui talian 03-26148200 atau menghantar surat secara rasmi serta boleh melayari laman sesawang JKKN untuk mendapatkan peluang dan permohonan ini yang bermula April sehingga Oktober tahun 2019 dengan kemudahan bantuan kewangan bermula dari RM1,000 sehingga RM15,000. Di samping itu juga, mereka boleh memohon bantuan melalui kepakaran JKKN seperti Teater, Tari, Muzik, Teknikal, Pengurusan Acara dan Penyelidikan serta ruang bilik mesyuarat, bilik kuliah, auditorium dan gelanggang Gasing. 

JKKN sentiasa komited terhadap usaha untuk memartabatkan karya-karya dan persatuan yang aktif dalam bidang seni budaya di Malaysia. Sehubungan itu, diharapkan agensi-agensi swasta dan syarikat-syarikat korporat turut sama memberikan sokongan kepada JKKN sebagai jabatan kerajaan yang mendokong kelestarian seni budaya bangsa.

“Sokongan boleh diberi bukan sahaja dalam bentuk penajaan kewangan, malah dengan memberi kemudahan pementasan, ruang promosi sekaligus dapat memberi peluang kepada generasi muda, penggiat-penggiat seni, badan bukan kerajaan, institut pengajian tinggi dan masyarakat untuk mengenali seni budaya warisan seterusnya menghayati keindahan kesenian Malaysia selaras dengan tahun melawat Malaysia 2020 dengan melonjakkan industri pelancongan negara,” tambah Tan Sri Norliza Rofli. 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat JKKN atau boleh melayari laman media sosial JKKN.

Sumber: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12045

No comments:

Post a Comment