Friday, April 12, 2019

Seruling dari tulang binatang antara alat muzik tertua dipamer di galeri muzik

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Alat seruling yang dicipta menggunakan tulang-tulang yang berpipa daripada binatang yang merupakan alat muzik tertua di negara ini, adalah antara 150 koleksi alat muzik tradisional negara ini yang dipamerkan di Galeri Muzik, Muzium Negara.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata selain itu, galeri tersebut turut mempamerkan tetuang iaitu alat komunikasi nelayan pantai timur yang diperbuat dari tanduk lembu atau kerbau, manjira yang merupakan sepasang simbal iaitu peralatan muzik tradisional kaum India dan gedombak iaitu gendang yang diperbuat daripada kayu nangka.

Galeri itu diadakan bagi meningkatkan pengetahuan serta kefahaman masyarakat mengenai seni muzik tradisional dari pelbagai kaum di negara ini, katanya pada perasmian pameran alat-alat muzik tradisional Malaysia di Galeri Muzik, Muzium Negara di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata asal usul muzik secara amnya telah bermula daripada masyarakat primitif, iaitu bermula dengan penggunaan tangan sehinggalah peralatan di sekeliling mereka seperti batu, alam semula jadi sehinggalah berlaku inovasi penciptaan dari semasa ke semasa.

“Alat muzik juga merupakan lambang estetika dalam sesuatu masyarakat. Ia bukan sahaja dijadikan sebagai alat hiburan malah sebagai alat penyebaran maklumat dan sahsiah” ujarnya.

Kamarul Baharin berkata sesetengah alat muzik mempunyai unsur magis yang boleh menaikkan semangat dan digunakan dalam upacara tertentu.

Sementara itu, Mohamaddin berkata usaha ini dapat menonjolkan muzik tradisional kepada generasi muda supaya lebih mengenali alat muzik tradisional dalam pelbagai bentuk dan jenis.

“Jika dilihat dari sudut sejarah, peralatan muzik tradisional merupakan alat teknologi dan kebudayaan yang berperanan sebagai saluran komunikasi dan hiburan dengan cara mengiringi seni persembahan dalam masyarakat melalui penghasilan alunan bunyi yang pelbagai,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment