Monday, October 16, 2023

BELANJAWAN 2024: MPC MAINKAN PERANAN UTAMA MEMACU PERTUMBUHAN PRODUKTIVITI

 KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyambut baik Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober 2023. Belanjawan 2024 merupakan langkah awal melibatkan reformasi dasar dalam usaha Malaysia ke arah mencapai Ekonomi MADANI.

 
MPC mempunyai peranan penting bagi menjayakan Belanjawan 2024, khususnya dalam mencapai pertumbuhan produktiviti 3.8% setahun seiring dengan matlamat Ekonomi MADANI. MPC berperanan meningkatkan produktiviti dan daya saing bagi memudahkan urusan perniagaan ke arah meningkatkan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia destinasi utama pilihan pelabur.
 
Menurut Zahid Ismail, Ketua Pengarah MPC, “Peranan MPC perlu diperkukuhkan dengan pindaan Akta MPC 1966 bagi memastikan pertumbuhan produktiviti negara kekal berada 3.8% setahun seperti disasarkan dalam Kajian Separuh Penggal RMKe-12 dan daya saing negara dilonjakkan ke tangga 12 selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI”. Inisiatif untuk memacu produktiviti termasuklah galakan kepada syarikat untuk meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan dan meningkatkan kemahiran bakat.

Belanjawan 2024 juga melibatkan inisiatif MPC bagi mengekang kekurangan bakat tempatan dan ketidakpadanan kemahiran, program Academy in Industry yang sedang dilaksanakan untuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan sebanyak 70 juta ringgit.

“Selain daripada itu, inisiatif peningkatan produktiviti melalui reformasi penerimagunaan teknologi turut dilaksanakan bagi menyediakan akses kepada peniaga untuk membangunkan penyelesaian automasi proses serta mengurangkan kos operasi perniagaan melalui teknologi digital”, menurut Zahid Ismail.

Secara keseluruhan, MPC percaya inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2024 dapat menjadi langkah awal dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan darjat hidup rakyat, seperti yang dihasratkan dalam Ekonomi MADANI. Dengan memberi fokus kepada strategi untuk mencapai pertumbuhan produktiviti yang disasarkan, MPC komited untuk menyumbang kepada usaha menjayakan Belanjawan 2024 khususnya, dan Ekonomi MADANI umumnya.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan lima teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem yang teguh dan memupuk minda produktif. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 0197181804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment