Friday, October 27, 2023

PERSIDANGAN ETIKA DAN AMALAN TERBAIK PENGIKLANAN PATUH SYARIAH ANJURAN IKIM




KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- 
Persidangan Etika dan Amalan Terbaik Pengiklanan Patuh Syariah telah dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 24 Oktober 2023 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

Ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, Dr Muhammad Hisyam selaku Felow Kanan di IKIM menyatakan garis panduan penapisan kandungan bahan-bahan penyiaran berunsur Islam di negara ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak media kerana bersifat umum dan kurang terperinci. 

Menurut beliau, “Kajian melalui beberapa analisis awal terhadap akta-akta dan kod etika pengiklanan sedia ada mendapati wujud jurang yang agak ketara antara falsafah, teori dan amalan dalam pengiklanan bagi memelihara kesucian Islam dan mematuhi hukum syarak. Dalam situasi ini, IKIM berasa sudah sampai masanya untuk kita mengambil inisiatif membudayakan amalan pengiklanan yang bermaruah dan lebih harmoni untuk masyarakat kita.”

Sesi Forum Persidangan mengulas isu-isu berkaitan kod etika pengiklanan dan cabaran industri media dan pengiklanan dalam negara. Antara yang hangat dibincangkan ialah kewujudan Akta, Kod Kandungan dan Garis Panduan oleh pelbagai pihak yang menambahkan kekeliruan dan kesukaran kepada para pengiklan. 

Kewujudan media sosial dan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) turut menambahkan lagi cabaran kepada industri media dan pengiklanan.

Kesukaran memantau setiap kandungan dan iklan-iklan juga akhirnya memerlukan kawal selia kendiri di kalangan pengguna dan masyarakat. “Etika pengiklanan dipandu oleh agama, dan bukan Garis Panduan semata-mata,” ulas Puan Hajah Siti Fatimah dalam sesi pembentangan beliau.

Enam kertas kerja yang dibentangkan termasuk pematuhan kod amalan pengiklanan oleh Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia (ASA), isu-isu etika dan amalan pengiklanan oleh Ahli Jawatankuasa Pengiklanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) dan isu keagamaan dalam kod pengiklanan di Malaysia oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF).

Seramai 70 peserta yang hadir terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan, usahawan, syarikat media dan para pengiklan. Rata-rata peserta menyatakan persidangan ini wajar diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan industri pengiklanan terus berkembang sebagai penyumbang ekonomi negara tanpa mengetepikan etika Islam dan mencemarkan jenama Halal. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17582

No comments:

Post a Comment