Wednesday, October 11, 2023

MYMUDAH DORONG PENINGKATAN PRODUKTIVITI PENIAGA TERENGGANU

 

YB Haji Husaimi bersama-sama peserta Sesi On-Boarding MyMudah: Memudahcara Perniagaan bagi Meningkatkan Produktiviti di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- Dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan di negeri Terengganu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha memperkukuh ekosistem peraturan perniagaan negeri.

Sesi On-Boarding MyMudah telah dijalankan bagi mengenalpasti isu dan permasalahan serta mendapatkan maklumbalas dari industri, dengan fokus khusus kepada lima sektor industri utama di Negeri Terengganu. Pemain industri telah mengutarakan beberapa isu yang melibatkan peraturan yang menjadi halangan kepada urusan perniagaan mereka. Isu ini tidak hanya membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi juga mempengaruhi keputusan pelabur untuk melihat Terengganu sebagai destinasi pelaburan mereka.

Timbalan Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau, YB Haji Mohd Husaimi Bin Hussin dalam ucapan perasmian beliau berkata, “Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkasakan sektor perindustrian negeri ini selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030”. Beliau berkata Sesi On-boarding ini diharapkan dapat memberi input bukan sahaja kepada MPC tetapi juga Kerajaan Negeri dalam menilai dan menambahbaik peraturan dalam usaha menyediakan persekitaran mesra peniaga seterusnya dapat menarik lebih ramai pelabur.

Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Dr. Noor Aishah Hassan berharap agar jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dapat diperkukuhkan terutamanya dalam memudahcara urusan perniagaan di Negeri Terengganu.

Sesi On-Boarding ini merupakan platform persediaan bagi Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan pada November 2023 di Kuala Terengganu yang bakal dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Bin Ali, Ketua Setiausaha Negara. Persidangan ini merupakan inisiatif MPC dalam menyebarluas usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian peraturan dalam membentuk ekosistem perniagaan yang kondusif seterusnya melonjakkan produktiviti dan daya saing negeri.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan lima teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem yang teguh dan memupuk minda produktif. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Program

Nama: Mohd Hosni B. Mamat@Ariffin
Tel: 0139264681
E-mel: hosni@mpc.gov.my

Media
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 0197181804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my 

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment