Saturday, October 7, 2023

SOFTBANK CORP. AKAN MENGEMBANGKAN PERNIAGAAN IOT GLOBAL SYARIKAT ITU DI RANTAU ASIA PASIFIK

SoftBank akan memasarkan perkhidmatan ketersambungan IoT global mampu milik 1NCE di 19 pasaran Asia Pasifik

TOKYO, 4 Okt (Bernama-BUSINESS WIRE) -- SoftBank Corp. (TOKYO: 9434, “SoftBank”) pada hari ini mengumumkan bahawa mulai bulan Oktober 2023, syarikat tersebut akan melancarkan pengembangan perniagaan IoT global sepenuhnya di rantau Asia Pasifik (APAC). Dalam pengembangan jualan ini yang menjangkau ke 19 negara dan rantau, termasuk Jepun, SoftBank akan menumpukan kepada pemasaran perkhidmatan IoT, terutamanya “Kadar Sama Rata 1NCE,” perkhidmatan ketersambungan IoT global mampu milik daripada syarikat Jerman 1NCE GmbH, kepada pelanggan perusahaan. SoftBank menyasarkan untuk mengambil alih sejumlah 2 juta ketersambungan Kadar Sama Rata IoT 1NCE di APAC dan rantau lain dalam tahun fiskal 2025, yang berakhir pada 31 Mac 2026.

Selaras dengan strategi pertumbuhan “Melangkaui Pembawa Telekomunikasi (Beyond Carrier)”, SoftBank berkembang melangkaui perniagaan telekomunikasi teras syarikat tersebut bertujuan mencipta perniagaan baharu dalam pelbagai industri dan mempromosikan transformasi digital (DX) merentasi sektor industri berbeza. Dalam bidang perniagaan IoT, SoftBank mengambil alih pegangan ekuiti dalam 1NCE GmbH pada bulan April 2022 dan syarikat tersebut menandatangani perjanjian untuk memasarkan Kadar Sama Rata IoT 1NCE secara eksklusif di 19 pasaran APAC. Kadar Sama Rata IoT 1NCE mampu diperoleh pada harga yang sangat rendah dan tanpa kos tambahan, pelanggan juga boleh menikmati perkhidmatan perayauan rangkaian global 1NCE di lebih daripada 160 negara dan rantau. Kemudahan perkhidmatan ini diterima baik oleh pelanggan perusahaan, termasuk syarikat yang berpangkalan di Jepun seperti Pocketalk Corporation.

Walaupun SoftBank sebelum ini memberikan tumpuan terutamanya kepada pemasaran Kadar Sama Rata IoT 1NCE di Jepun, kini syarikat tersebut mengembangkan jualan ke 19 negara dan rantau APAC bertujuan meningkatkan pelaksanaan global perniagaan IoT syarikat. Dengan memanfaatkan lokasi sedia ada di APAC (terdiri daripada 22 lokasi di 9 negara dan rantau), SoftBank akan meningkatkan tenaga jualan IoT kepada empat kali ganda, melancarkan kedai IoT dalam talian khusus dengan kerjasama 1NCE dan mengukuhkan pengiklanan dan inisiatif pemasaran lain di rantau ini.

Melalui penggunaan platform IoT, SoftBank juga akan mencadangkan penyelesaian berkaitan meter pintar dan berusaha mengembangkan lagi perniagaan IoT global syarikat itu. SoftBank juga akan membina rangka kerja sokongan meluas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelbagai industri di negara dan rantau masing-masing. Bermula dengan perniagaan IoT global syarikat, SoftBank akan mengambil langkah mengembangkan perniagaan global, terutamanya di rantau APAC dan mempromosikan inisiatif “Melangkaui Jepun”. 

No comments:

Post a Comment