Tuesday, November 13, 2018

Basikal buluh Spedagi Indonesia menang Anugerah Emas di Jepun


KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Basikal buluh Spedagi pilihan ASEAN-Japan Centre (AJC) yang dihasilkan oleh CV Pirani Works dari Indonesia meraih Anugerah Emas pada Good Design Award 2018 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Good Design Award merupakan antara anugerah reka bentuk paling berpengaruh di dunia yang dikendalikan oleh Institut Promosi Reka Bentuk Jepun (JDP) yang turut dikenali sebagai ‘G Mark’ – tiket kepada pengiktirafan dunia bagi produk dengan reka bentuk berkualiti.
AJC, organisasi antara kerajaan yang disertai 10 negara anggota ASEAN dan Jepun berpangkalan di Tokyo, memilih basikal daripada buluh Spedagi sebagai sebahagian programnya bertajuk ‘Good Design Award: Pilihan Reka Bentuk ASEAN’.
Ia melancarkan program itu pada tahun kewangan 2017 bagi mempromosikan industri kreatif negara ASEAN dengan kerjasama JDP, demikian menurut AJC dalam satu kenyataan.
Matlamat program ialah berkongsi nilai reka bentuk terbaik seperti yang diiktiraf oleh Good Design Award dan negara ASEAN serta menggunakan reka bentuk sebagai alat menyelesaikan sebahagian isu ekonomi dan sosial serta menyumbang kepada pembangunan lestari.
Program juga bertujuan menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana meningkatkan reka bentuk produk dan perkhidmatan mereka bagi membangunkan cadangan perniagaan yang mewujudkan nilai baharu selain mengintai maklumat pasaran reka bentuk Jepun.
Sebanyak 22 produk dan perkhidmatan daripada 261 calon mewakili 10 negara ASEAN menerima anugerah Good Design Award. Produk dan perkhidmatan terbabit turut dipaparkan pada pameran di dewan AJC. Maklumat lanjut boleh didapati menerusihttps://www.asean.or.jp/en.
-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment