Monday, November 19, 2018

Malaysian Reinsurance Bhd miliki prospek kewangan stabil

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) – A.M. Best mengesahkan Penarafan Kekukuhan Kewangan A- (cemerlang) dan Penarafan Kredit Penerbit Jangka Panjang ‘a-’ bagi Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) Malaysia.
Prospek penarafan kredit ini adalah stabil, kata agensi penarafan global yang menumpukan kepada industri insurans itu dalam satu kenyataan, hari ini. 
Penarafan itu mencerminkan kekuatan lembaran imbangan Malaysian Re, yang mana A.M. Best kategorikannya sebagai sangat kukuh, serta prestasi operasi yang mencukupi, profil perniagaan neutral dan pengurusan risiko perusahaan yang wajar. 
Menurut kenyataan itu, permodalan diselaras risiko syarikat, seperti yang diukur oleh Best’s Capital Adequacy Ratio (BCAR), disokong oleh leveraj penajaan jamin yang rendah dan portfolio pelaburan konservatif. 
Prestasi operasi syarikat insurans itu disokong oleh aliran pendapatan pelaburannya yang mantap yang mengurangkan turun naik dalam keputusan penajaan jaminnya. 
Malaysian Re juga mendapat manfaat daripada pengaturan penyerahan dikawal selia dalam pasaran insurans bukan hayat di Malaysia.
Meskipun penyerahan ini memberi sumbangan ketara kepada hasil premium dan keseluruhan keuntungannya, volum berkurangan berikutan pengurangan kadar kawal selia.
Selain itu, peningkatan penggabungan dalam kalangan syarikat insurans tempatan telah mengurangkan permintaan terhadap kapasiti insurans semula.
Justeru, Malaysian Re telah mengembangkan perniagaan insurans semula luar negaranya yang turun naiknya lebih tinggi dan keuntungan lebih rendah berbanding portfolio domestiknya. 
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan perkara ini boleh layari laman web www.ambest.com
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment