Friday, November 2, 2018

MATA BANTU GOLONGAN CACAT PENGLIHATAN


KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) – Membesar bersama nenek yang cacat penglihatan dan mempunyai seorang rakan sekelas yang langsung tidak dapat melihat, memberi inspirasi kepada  Muhamad Faizal Lockman Hakim, 35, untuk menghasilkan MATA, jenama kacamata hitam di bawah syarikat keusahawanan sosial bagi membantu golongan buta dan cacat penglihatan di negara ini.
Muhamad Faizal, yang lebih mesra dengan panggilan Mamu, menghasilkan MATA bagi  menggalakkan khidmat komuniti melalui Pemulihan Berasaskan Komuniti (CBR), yang merupakan program bantuan di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk membantu penduduk luar bandar yang buta dan miskin.

“MATA dibiayai SME Corp. Malaysia dan diurus Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Mereka memperuntukkan geran sebanyak RM200,000 bagi projek ini sejak Mach dan kami akan menyumbang 20 peratus daripada setiap pembelian kepada MAB”,  katanya kepada wartawan selepas pelancaran ‘MATA – Eyewear For Noble Cause’ di sini hari ini.

Memiliki ijazah sarjana muda dalam pengajian kreatif, Mamu memanfaatkan minatnya untuk  menghasilkan reka bentuk bagi edisi ‘Blackout’ sebagai model sulung MATA.

Kacamata itu diuji dalam pelbagai senario seperti dalam keadaan cahaya terang benderang dan memandu dalam keadaan biasa seharian.

“Bahan yang kami guna untuk kacamata hitam ini tahan daripada pecah untuk menjaga keselamatan dan malah, anda boleh membengkokkannya, manakala lensanya pula mempunyai ciri anticalar. Kami cipta khas bahan itu untuk kegunaan dan cuaca di Asia. Kami menyasarkan dapat menjual hingga 1,000 kacamata  hitam menjelang akhir tahun ini.

Mamu juga merancang menghasilkan kacamata pintar yang boleh bersuara dalam masa empat tahun akan datang.

Kacamata pintar boleh bersuara itu akan mampu mengesan halangan dengan bantuan sensor dan memaklumkan kepada penggunanya melalui fon telinga dan motor getaran.

Sementara itu, Timbalan Ketua pegawai Eksekutif (CEO) I, SME Corp. Malaysia Rizal Nainy berkata MATA dihasilkan dengan bantuan kerajaan melalui Program Berimpak Tinggi 6: Inovasi Inklusif (HIP 6) di bawah Pelan Tindakan SME (2012-2020).

“HIP 6 bertujuan menggalakkan inovasi yang membawa kepada kemampuan mengakses barang dan perkhdmatan berkualiti tinggi oleh golongan terpinggir, termasuk isi rumah dalam kelompok B40,” katanya.

Kacamata hitam itu kini boleh dibeli melalui laman sesawang www.mata.vison.

-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment