Thursday, November 26, 2020

KEMPEN TAKSIR DAN BAYAR ZAKAT PERNIAGAAN 1 NOVEMBER 2020 - 31 MAC 2021

 


KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang besar kepada semua pihak. Banyak perniagaan yang terpaksa dihentikan akibat jualan yang semakin merosot. Namun begitu, masih ada perniagaan yang tidak terjejas dan kukuh meneruskan perniagaan seperti biasa.

Oleh itu, Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengadakan Kempen Taksir dan Bayar Zakat Perniagaan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan PKS menunaikan zakat perniagaan mereka di samping membantu asnaf yang semakin ramai akibat pandemik COVID-19.
 
Kempen ini akan berlangsung selama 5 bulan bermula November 2020 hingga 31 Mac 2021 dan ianya terbuka kepada usahawan yang ingin menunaikan zakat perniagaan atas nama syarikat dengan bayaran minimum sebanyak RM5,000. Bagi pembayar zakat perniagaan sedia ada, jumlah kenaikan bayaran zakat haruslah melebihi daripada jumlah bayaran yang terdahulu.
 
Untuk makluman, pembayar yang menunaikan zakat perniagaan layak untuk mendapat Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula untuk diagihkan sendiri kepada asnaf. Pembayaran zakat perniagaan melebihi RM10,000 akan mendapat pulangan semula sebanyak 37.5% manakala bayaran melebihi RM1 juta pula akan mendapat pulangan semula sebanyak 50%.
 
Sebagai tanda penghargaan, setiap syarikat yang menunaikan zakat perniagaan akan menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat dan Logo Pembayar Zakat Perniagaan. Ianya dilihat sebagai pelengkap kepada sijil halal dan ianya boleh diguna pakai pada produk-produk keluaran syarikat. Secara tidak langsung ia juga memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih produk dari syarikat yang telah menjalankan tanggungjawab berzakat.
 
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff, kempen ini adalah salah satu usaha PPZ-MAIWP bagi meningkatkan kutipan zakat supaya ianya cukup untuk terus membantu asnaf yang semakin ramai kini.
 
“Situasi COVID-19 telah menjejaskan mata pencarian segelintir daripada kita, oleh itu saya menyeru kepada semua syarikat sama ada besar ataupun kecil untuk menunaikan zakat perniagaan di PPZ-MAIWP agar dapat membantu dan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan untuk bangkit semula meneruskan kehidupan” katanya. 

Pembayar yang menunaikan zakat perniagaan dalam tempoh kempen ini berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti:
 
●  4x Komputer Riba
●  6x Tablet
●  4x Coffee Maker

Pemenang akan dipilih berdasarkan cabutan dan akan diumumkan pada April 2021.

Cara penyertaan:
 
●   Tunaikan zakat perniagaan melalui pilihan saluran pembayaran PPZ-MAIWP.
●   Imbas QR Code atau layari https://zakat-perniagaan.zakat.com.my/
●   Taksir Zakat
●   Wakil pegawai PPZ-MAIWP akan menghubungi dan membantu pembayar untuk proses seterusnya.
●   Untuk maklumat lanjut, hubungi 1-300-88-5757 

”PPZ-MAIWP Memudahkan Anda Berzakat”
 
SUMBER: Pusat Pungutan Zakat - MAIWP

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14012

No comments:

Post a Comment