Thursday, November 26, 2020

OMRON tambah pelaburan dalam AliveCor untuk perkukuh penglibatan

 KUALA LUMPUR, 26 Nov  -- OMRON Healthcare Co Ltd mengumumkan pelaburan tambahan bagi AliveCor oleh syarikat induknya, OMRON Corporation, sebagai sebahagian daripada pembiayaan siri E bernilai US$65 juta  (US$1 = RM4.09) bagi peneraju teknologi elektrokardiogram (ECG) peribadi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) itu.

Menurut satu kenyataan, OMRON mengetuai pusingan pelaburan ini bagi mengukuhkan kerjasama silang syarikat yang bermula pada 2017.

Syarikat-syarikat tersebut akan meneruskan pakatan global mereka untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian bagi pengurusan penyakit kardiovaskular dan pemantauan pesakit jarak jauh dengan menggunakan teknologi ECG. 

“OMRON komited untuk membangunkan teknologi kesihatan kardiovaskular yang menyelamatkan nyawa dalam mencapai visi ‘Mencapai Sifar’ kami untuk menghapuskan serangan jantung dan strok,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif OMRON Healthcare, Isao Ogino.

“Lebih satu bilion orang dewasa menghadapi hipertensi di seluruh dunia, dan risiko mereka mengalami strok hampir lima kali lebih besar jika mereka juga menderita dari Afib (pemfibrilan atrium).

“Keupayaan untuk memantau kedua-dua tekanan darah dan rentak jantung di rumah adalah sangat penting untuk pengesanan awal, rawatan dan pengurusan bagi keadaan kesihatan kardiovaskular ini.

“Kami akan terus meneroka dan mengembangkan teknologi baharu untuk meningkatkan aksesibiliti bagi pemantauan rumah yang membantu orang ramai untuk menguruskan keadaan mereka, dan akan melibatkan rakan kongsi seperti AliveCor untuk memastikan teknologi ini adalah yang terbaik di pasaran, seterusnya mempercepatkan lagi perniagaan pemantauan pesakit jarak jauh kami untuk mencapai matlamat kami.”

Penambahan pelaburan OMRON ke dalam AliveCor dibuat berdasarkan kepada kerjasama berterusan dengan syarikat itu.

OMRON Healthcare adalah sebuah peneraju dunia dalam bidang peralatan perubatan inovatif yang terbukti secara klinikal untuk pemantauan dan terapi kesihatan.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment