Thursday, December 6, 2018

Asia tingkat kedudukan dalam 100 bandar raya utama destinasi global 2018

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Asia terus menjadi tumpuan pelancong setelah menguasai 41 daripada 100 bandar raya pilihan utama di seluruh dunia pada 2018, berbanding 37 bandar raya pilihan pada 2012, kata Perunding Euromonitor International Travel Research Wouter Geerts.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata bandar-bandar di Jepun dan India mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam kedatangan pelancong antarabangsa.
Euromonitor International mengeluarkan laporan ranking terkininya, 'Top 100 City Destinations 2018' hari ini.

Laporan itu yang menyenaraikan bandar raya mengikut ketibaan pelancong antarabangsa juga menamakan tiga bandar iaitu Batam (Indonesia), Santiago (Chile) dan Porto (Portugal) menyertai ranking itu buat pertama kalinya.
Bagaimanapun, bandar-bandar di rantau Timur Tengah dan Afrika seperti Jerba, Sousse dan Sharm el Sheikh tidak lagi disenaraikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan oleh serangan pengganas dan permintaan yang merosot.

Sebaliknya, pertumbuhan kukuh dicatatkan bandar-bandar Turki, setelah negara itu pulih dari pergolakan pada 2016.

Ranking itu juga menunjukkan enam daripada 10 bandar utama paling dikunjungi pada 2017 adalah di Asia, dengan Hong Kong dan Bangkok sebagai dua pilihan utama manakala Singapura, Macau, Kuala Lumpur dan Shenzhen dalam 10 teratas di peringkat global, kata kenyataan itu.
Euromonitor International adalah penyedia utama dunia bagi perisikan perniagaan dan analisis pasaran strategik global. Maklumat lanjut boleh didapat di https://www.euromonitor.com.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment