Wednesday, December 5, 2018

PERTANDINGAN CHUCK CHICKEN JUNIOR WARRIORS SASAR KE PASARAN ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) – Sambill Park (M) Sdn Bhd merancang untuk membawa ‘Pertandingan Chuck Chicken Junior Warriors’ ke sekurang-kurangnya lima negara dalam tempoh dua tahun akan datang bagi mempromosikan siri animasi Malaysia itu ke pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan Sambill Park Daniel Wong berkata pertandingan yang merangkumi siri halangan sepanjang 300 meter itu diinspirasikan oleh siri animasi terkenal dan boleh memacu pelancongan tempatan.

"Para peserta akan dibawa ke Malaysia untuk bersaing di pusingan akhir selaras dengan strategi negara untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya semasa pelancaran Pertandingan Chuck Chicken Junior Warriors 2.0 di sini hari ini.

Wong berkata pertandingan itu melibatkan peserta berumur tujuh hingga 12 tahun dengan matlamat untuk mendidik anak muda tentang kemahiran mental dan fizikal pada usia muda bagi melatih kebolehan serta membangunkan keyakinan diri mereka.

Chuck Chicken Junior Warriors 2.0 akan dijalankan di beberapa sekolah di Lembah Klang bagi pusingan kelayakan bermula Februari hingga Mei tahun depan, diikuti peringkat akhir pada 6 Jun yang akan diadakan di Sunway Velocity Mall, Cheras, di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata pertandingan itu seiring dengan aspirasi kementerian untuk menjadikan kanak-kanak berpengetahuan serta berfikir secara kritikal dan kreatif.

"Sebagai sebahagian daripada strategi kami untuk transformasi asas, kementerian menyokong pertandingan ini yang membolehkan kanak-kanak mengembangkan kemahiran mereka dalam pelbagai aspek, tanpa mengira status sosio-ekonomi mereka," katanya dalam ucapan perasmiannya yang dibacakan oleh Pengarah Bahagian Sukan kementerian, Zainal Abas.

Siri Animasi Chuck Chicken telah menarik lebih 11 juta penonton dan dicalonkan sebagai animasi Terbaik 2D di acara Anugerah Televisyen Asia ke-21 dengan 180,000 pelanggan YouTube. Ia mempunyai 52 episod dan dalam bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Mandarin, Bahasa Indonesia dan Thai.

Tiket pertandingan dan maklumat lanjut boleh didapati dengan di  www.ccjuniorwarriors.com.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment