Friday, December 21, 2018

JURULATIH ABS DAPAT PENSIJILAN PROFESIONAL BERTAULIAH

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) – Jurulatih dalaman Asian Banking School (ABS) berjaya menerima pensijilan Pelatih Profesional Bertauliah (CTP) daripada Agensi Akreditasi Kewangan atau FAA.

Pensijilan itu diperoleh selepas mereka selesai mengikuti program komprehensif membabitkan pengetahuan dan kemahiran termasuk merancang, membangun serta menyampaikan program pembelajaran berstruktur yang seiring dengan amalan terbaik industri.

“ABS terus membuat pelaburan bukan sahaja dalam membangunkan kandungan baharu program serta sistem pelaksanaannya, tetapi juga dalam aspek sumber manusia. Ini kerana kita turut menyedari kepentingan menyediakan profesional latihan yang berkelayakan bagi industri perbankan ini,” kata pusat latihan itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ABS, Prof Colyn Gardner berkata: "Jurulatih dalaman ABS ini merujuk mereka yang sama ada profesional latihan bertauliah sepenuhnya atau yang dalam proses ke arah itu.”

Menurutnya, jurulatih baharu itu akan memperoleh pensijilan CTP dalam tempoh tahun pertama di ABS bermula tahun depan.

Selain mengendalikan pelbagai program terbuka dan program latihan khusus, jurulatih tersebut pada masa ini menjalani sekurang-kurangnya 60 peratus daripada latihan untuk tujuan kelayakan profesional manakala 100 peratus meliputi etika industri secara meluas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment