Thursday, March 14, 2019

Kontrak jualan berjumlah RM1 juta dijangka dijana di Tourism Malaysia Travel Mart

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang berlangsung di sini hari ini dijangka menjana pulangan kontrak jualan sebanyak RM1 juta.

Program sehari itu dianjurkan bersempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini bermula esok hingga 17 Mac. 

Mohamaddin berkata program anjuran Tourism Malaysia itu menemukan pengusaha pelancongan dengan pengusaha produk dan hotel untuk bekerjasama menawarkan pelbagai pakej pelancongan domestik yang menarik buat para pelancong.

“Ia berkonsepkan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang mana ia mewujudkan jaringan perniagaan dengan pengusaha produk tempatan menjual produk mereka kepada pengusaha pelancongan yang mahu mempunyai pelbagai pakej menarik untuk ditawarkan kepada para pelancong.

Usaha ini tepat pada masanya kerana negara sedang giat membuat persediaan untuk menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) yang menyasarkan 30 juta pelancong asing dengan penjanaan pendapatan negara sebanyak RM100 bilion,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini, hari ini.

Pada tahun lepas, Malaysia menerima ketibaan kira-kira 26 juta pelancong dan menjana pendapatan negara sebanyak RM84.1 bilion. 

Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific di sini disertai oleh 200 pembeli produk iaitu pengusaha pelancongan manakala 60 penjual yang terdiri daripada pengusaha produk dan hotel.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment