Friday, March 15, 2019

Muzium Seni Jepun lancar program 'Let´s Talk Art!'

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Muzium Seni Modern Nasional di Tokyo, akan memperkenalkan satu program baharu yang akan membolehkan pengunjung asing lebih menghayati hasil karya seni Jepun abad ke-20.

Program dalam bahasa Inggeris, ‘Let’s Talk Art!’ yang akan dilancarkan pada 22 Mac ini, memberi peluang kepada pengunjung luar menikmati hasil seni melalui perbualan dengan fasilitator

Dalam satu kenyataan di sini, muzium itu menjelaskan peserta berpeluang meneroka tiga karya seni yang dipamerkan dalam ‘Koleksi MOMAT’ dalam masa sejam di samping membincangkan budaya dan seni Jepun, serta negara-negara yang mengambil bahagian dalam pameran, berdasarkan apa yang digambarkan dalam karya.

Pihak muzium tidak akan memaklumkan terlebih dahulu tiga karya yang akan dibincangkan pada setiap sesi bagi memastikan peserta teruja untuk mengetahui karya terpilih mengikut tema yang diberikan pada hari program berkenaan, katanya.

Menurut muzium itu, fasilitator akan menyediakan maklumat asas mengenai sejarah lokasi dan lain-lainnya yang didapati pada karya seni itu selain maklumat pelancong.

Muzium seni nasional pertama Jepun itu yang terletak berhampiran Imperial Palace, berhasrat untuk menawarkan tarikan baharu negara matahari terbit itu melalui program berkenaan termasuk tempat untuk komunikasi, yang membawa kepada saling menghormati terhadap pelbagai budaya dan nilai.

Koleksi MOMAT merupakan pameran tunggal karya seni Jepun yang membolehkan pengunjung menyelami sejarah seni Jepun modern lebih 100 tahun, melibatkan kira-kira 200 daripada 13,000 hasil karya yang dipamerkan.

Selain program berkenaan, terdapat paparan maklumat yang menjelaskan karya seni yang dipamerkan dan panduan audio dalam bahasa Inggeris (berbayar) manakala aplikasi bantuan secara percuma dalam bahasa Inggeris, Cina dan Korea juga disediakan.

Pendaftaran awal perlu (sehingga enam orang) bagi pengunjung luar berumur 11 tahun ke atas dan bayaran untuk dewasa ialah 1,500 yen. Diskaun diberikan kepada pelajar dan warga emas. (100 yen = RM3.66)

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://www.momat.go.jp/english/

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment