Monday, March 18, 2019

Syarikat pemula niaga Malaysia finalis serantau dalam The Challenge

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Tiga syarikat pemula niaga Malaysia telah dipilih sebagai finalis serantau dalam Alipay-NUS Enterprise Social Innovation Challenge (The Challenge) bagi penyelesaian pengurusan sisa mereka yang inovatif. 
BlueBee Technologies, FatHopes Energy dan Grub Cycle telah dipilih bagi keupayaan mereka menggunakan teknologi digital untuk mewujudkan penyelesaian yang mampan dari segi alam sekitar serta memacu impak yang positif dan kehidupan yang lebih baik.

BlueBee Technologies membangunkan ERTH, platform digital E-waste Recycling yang menawarkan harga yang kompetitif untuk membeli elektronik peribadi manakala platform digital Grub Cycle membantu pasar raya, ladang dan restoran mengurangkan pembaziran makanan.
FatHopes Energy menggunakan peranti Internet of Things untuk mengautomasi sisa pengumpulan minyak masak, dan berhubung dengan kumpulan pengumpulan untuk mengambil dan menghantar ke kilang penapisan untuk pengeluaran biofuel.
Pada peringkat awal, peserta menunjukkan bagaimana mereka menggunakan teknologi digital untuk menyelesaikan cabaran dalam pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan kewangan, pertanian, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan dan latihan serta makanan dan minuman.
Finalis serantau, masing-masing akan menerima S$10,000 (kira-kira RM30,000) hadiah wang tunai untuk menyokong pertumbuhan masa depan mereka dan terus bersaing dalam peringkat akhir dengan finalis lain dari Singapura dan Indonesia untuk hadiah utama sebanyak S$50,000 (kira-kira RM151,000).
Finalis juga layak untuk menyertai program 10x1000 Tech for Inclusion, diwujudkan secara bersama oleh International Financial Corporation, ahli World Bank Group, dan Alipay untuk menyokong pembangunan 1,000 pakar teknologi dalam pasaran sedang pesat membangun dari sektor awam dan swasta untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Mereka akan turut menerima sokongan dari segi bimbingan daripada NUS Enterprise untuk tempoh selama tiga bulan sebagai ganjaran kewangan untuk meneruskan impak sosial perniagaan mereka dan akses kepada BLOCK71, pembina ekosistem dan komuniti penghubung global dengan ruang kerja bersama.
Dilancarkan pada November 2018, The Challenge merupakan anjuran bersama Alipay dan cabang keusahawanan National University of Singapore, NUS Enterprise. Ia bertujuan mengenal pasti dan menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi digital untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment