Saturday, March 2, 2019

Pemimpin belia ASEAN anjur Hari Terbuka Pertanian Organik Bersepadu

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Sepuluh pemimpin belia ASEAN terpilih menganjurkan Hari Terbuka Pertanian Organik Bersepadu hari ini untuk meningkatkan pemahaman di kalangan belia mengenai “circular economy” menggunakan pertanian organik yang mampan dan sistem pengurusan makanan yang sesuai.

Hari terbuka yang dianjurkan oleh EcoKnights, sebuah organisasi alam sekitar, yang diadakan di Sekolah Ladang Organik Frangipani, Gombak mengumpulkan hampir 100 peserta, bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu-isu global.

Presiden EcoKnights Yasmin Rasyid berkata hari terbuka itu dianjurkan selepas pemimpin belia mendampingi asyarakat dan pihak berkepentingan lain selama dua minggu untuk memperoleh pendedahan dan maklumat mengenai isu-isu tempatan dan global merangkumi sistem pengeluaran makanan pada masa depan.

"Kami mahu mewujudkan kesedaran di kalangan belia mengenai pertanian organik dan sejak dua minggu lalu, mereka telah menjalani pelbagai modul mengenai alam sekitar.

"Program ini membolehkan pemimpin belia dan orang awam meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai pertanian lestari," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Yasmin berkata program itu merupakan peluang terbaik untuk belia memperoleh pendedahan bagi membolehkan mereka menterjemahkan teori menjadi amalan.

Beliau berkata Hari Terbuka itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan Youth Across ASEAN Programme” (EYAAP) 2019 dengan kerjasama EcoKnight dan disokong oleh Yayasan ASEAN dan Yayasan Maybank.

Dalam pada itu, Olivia Dianina Purba, 30, dari Bali, Indonesia yang juga sukarelawan dan salah seorang daripada 10 pemimpin belia berkata program itu memberi peluang kepada belia dari pelbagai negara untuk bertukar-tukar idea terutama mengenai isu alam sekitar.

"Kami belajar sesuatu yang baharu semasa program ini dan saya agak terkejut terdapat banyak kawasan hijau di Kuala Lumpur yang dikenali sebagai bandar metropolitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank Shahril Azuar Jimin berkata kerjasama dalam projek komuniti menjadi komitmen mereka dalam usaha untuk mendekati komuniti sejajar dengan misi mereka untuk memanfaatkan perkhidmatan kewangan.

Beliau berkata peserta dari tiga negara iaitu Malaysia, Kemboja dan Indonesia akan dihantar ke 10 lokasi terpilih untuk berkongsi pengalaman menerusi pelbagai program dan aktiviti mengenai alam sekitar dan budaya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment