Monday, March 25, 2019

Pendekatan ekonomi prihatin bantu pembangunan sosial masyarakat

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pendekatan ekonomi prihatin; antaranya penyediaan penjagaan awal kanak-kanak, individu kurang upaya dan soal berkaitan warga emas, adalah antara elemen penting dalam menyokong pembangunan sosial masyarakat.

Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Nur Syahidah Abdul Jalil berkata aspek-aspek itu kurang dilihat sebagai satu pekerjaan yang produktif dan menyumbang kepada nilai ekonomi berbanding ekonomi konvensional yang boleh diukur menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Pekerjaan seperti penjagaan awal kanak-kanak, pendidikan awal kanak-kanak, penjagaan individu kurang upaya serta penjagaan warga emas adalah sebahagian daripada ‘care economy’ seperti yang dinyatakan oleh International Labour Organisation (ILO),” katanya.

Bercakap kepada Bernama selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kerangka Ekonomi Prihatin dan Kasih Sayang Dalam Islam’ pada Persidangan Meja Bulat: Islam dan Ekonomi Prihatin di Dewan Besar IKIM di sini, baru-baru ini, Nur Syahidah berkata banyak potensi ekonomi yang wujud daripada ekonomi prihatin.

Beliau bagaimanapun berharap masyarakat dan pihak-pihak bertanggungjawab dalam menggubal dasar perlu berhati-hati mengambil peluang daripada keperluan bidang-bidang itu.

“Jangan sampai ia ‘diswastakan’ sehingga berorientasikan keuntungan. Dasar yang berkaitan perlu membantu semua pihak memastikan pembangunan sosial di landasan terbaik dengan keutamaan sokongan oleh ahli keluarga. Contohnya memberi gaji atau elaun kepada penjaga,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Kanan IKIM Siti Fatimah Abdul Rahman dalam kertas kerja bertajuk ‘Ekonomi Prihatin dan Dasar Mesra Keluarga’ berkata majikan perlu memperluaskan amalan Dasar Mesra Keluarga di negara agar selari dengan tuntutan Islam.

Beliau berkata pelaksanaan bekerja pada waktu anjal, cuti bersalin, cuti menjaga anak yang diperkenalkan kerajaan perlu dilihat sebagai satu dasar yang memihak kepada keluarga dan bukan hanya kepada wanita.

Sebagai pengkaji keluarga, Siti Fatimah berpendapat pendekatan Ekonomi Prihatin adalah jawapan kepada isu penjagaan dalam keluarga.

“Contohnya dalam beberapa kes melibatkan penderaan dan kematian kanak-kanak di rumah pengasuh, komen pertama ialah ‘kenapa tidak dihantar ke pengasuh berdaftar’, sedangkan kita tahu pengasuh berdaftar hari ini hadir dengan pakej yang sangat mahal, si ibu tidak mampu tetapi dalam masa sama perlu bekerja,” katanya.

Dalam isu penjagaan warga emas pula, Siti Fatimah menyarankan Malaysia mencontohi negara maju yang menggaji jiran atau komuniti setempat untuk menjaga warga tua yang sakit dan keseorangan di rumah.

“Ia peluang pekerjaan bukan berasaskan keuntungan tetapi satu perkhidmatan berbayar berbentuk ‘mampu milik’, malahan dengan tambahan ‘nilai keberkatan’ sebagai bonus,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment