Thursday, February 8, 2018

7-Eleven Malaysia, NGOHub Asia Adakan Aktiviti Seni Dan Kraf untuk Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- 7-Eleven Malaysia dan NGOHub Asia mengadakan aktiviti seni dan kraf untuk anak-anak Pusat Jagaan Asnaf Barakh di Ampang, Selangor, sempena Bulan Kreativiti Antarabangsa.

Wakil-wakil 7-Eleven mengajar kanak-kanak tersebut membina loceng angin manakala sukarelawan NGOHub Asia membantu memudah cara aktiviti dengan membimbing peserta dengan ciptaan mereka.

Pengurus Besar (Pemasaran) 7-Eleven Malaysia Ronan Lee yang gembira dapat mengambil bahagian dalam projek itu, berkata: "Kami gembira dapat meluangkan masa bersama anak-anak di sini, dan berpuas hati melihat ekspresi mereka menjalankan aktiviti yang disediakan.

"Melaluinya, kami berharap dapat membantu mengembangkan kemahiran berfikir kreatif mereka, kerana membina loceng angin agak mencabar walaupun dapat membawa kegembiraan," katanya.

Pusat Jagaan Asnaf Barakh adalah organisasi bukan mencari keuntungan yang menempatkan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah. Pengasasnya,Yusof Noor aktif menyokong golongan kurang bernasib baik.

Sejak 2010, komuniti itu telah berpindah ke beberapa lokasi setelah tidak dapat membayar sewa dan lokasi semasa di Ampang, adalah yang paling lama dan mereka memerlukan bantuan untuk bayaran sewa dan perabot baru untuk menggantikan yang rosak.

"Kami juga berharap mendapat sokongan dalam bentuk keperluan seperti lampin, susu tepung, ayam dan ikan kerana barang-barang ini mahal. Pada masa ini, kami mempunyai 54 anak dengan kami, dan kami ingin memberikan mereka yang terbaik untuk memastikan mereka selesa, " kata Yusof.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment