Monday, February 12, 2018

Mardi Isytihar Varieti Bahru Padi Warna 98

SIBURAN (Sarawak), 12 Feb (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) hari ini memperkenalkan Padi Warna 98, padi varieti baru hasil penyelidikan saintisnya yang mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding varieti padi warna sebelum ini.

Majlis pengisytiharan di Kampung Plaman Payang kira-kira 10km dari sini disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Padi Warna 98 merupakan hasil penyelidikan kedua Mardi selepas varieti Padi Warna 16 yang telah bermula sejak tahun 2003/2004 dengan kacukan awal di antara varieti tradisional Hijau Manis dengan Jaya Malay.

Uggah berkata dengan pengenalan varieti baru ini Mardi kini bekerjasama dengan petani di daerah Serian di sini untuk memulakan projek penanaman padi warna yang mampu ditanam dua kali setahun itu di kawasan seluas 4.4 hektar di sini.

"Varieti padi ini mampu membawa hasil 4.5 - 6.7 tan sehektar, dan tahan penyakit karah tangkai serta penyakit merah virus dengan umur matang hanya 103 hari. Dengan kelebihan ini penanaman padi warna ini harus dikembangkan ke kawasan lain di Sarawak pada masa akan datang," kata beliau dalam ucapan pengisytiharannya yang dibacakan oleh Roland Sagah di Dewan masyarakat Kampung Plaman Payang di sini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya hasil padi para petani ini perlu dilengkapi dengan pengilang dan pemborong beras yang akan memproses dan memasarkannya, agar manfaatnya dapat diperoleh bersama bukan sahaja untuk pesawah, malah kepada seluruh rakyat dan pengguna.

"Oleh itu saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat yang terlibat dalam rantaian pengeluaran padi ini untuk sama-sama bekerja dan meningkatkan usaha ke arah hasrat ini," tambahnya.

Roland Sagah turut menyampaikan bantuan benih dan racun tumbuhan perosak kepada tiga ketua kampung yang terbabit dengan projek itu yang terdiri daripada kampung Plaman Payang, Kampung Skuduk dan Kampung Chukka.

Turut hadir dalam majlis hari ini ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Anthony Nogeh Gumbek.

--BERNAMA 

No comments:

Post a Comment