Thursday, June 24, 2021

PENGGIAT FRANCAIS SUMBANGKAN 4500 PEK MAKANAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengorbanan dan komitmen yang tinggi para petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan jangkitan COVID-19 wajar dihargai semua pihak. Oleh yang demikian, Persatuan Francais Malaysia (MFA) bersama-sama para ahli dan rakan strategiknya telah mengambil inisiatif untuk mengagihkan sumbangan makanan kepada lebih 1,500 petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), MAEPS Serdang  pada 21 sehingga 23 Jun lalu.
 
Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, Program “Franchise CSR – Support to our Frontliners” ini adalah sebagai tanda penghargaan dan rasa terima kasih para penggiat francais kepada petugas barisan hadapan. Pengorbanan dan jasa mereka amatlah besar dalam mendepani cabaran pandemik ini.

"Sepanjang tempoh pandemik ini, petugas barisan hadapan adalah wira kepada seluruh rakyat bagi menjamin keadaan kesihatan dan keamanan negara berada pada tahap terbaik," katanya.

Selain menghargai petugas barisan hadapan, beliau menyeru masyarakat untuk sama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kes COVID-19 dan sekali gus membolehkan semua sektor ekonomi beroperasi seperti sedia kala.

Sepanjang tempoh program ini, wakil setiap penyumbang yang terdiri daripada syarikat-syarikat francais Malaysia telah menghantar pek makanan ke PKRC MAEPS Serdang untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas pada hari tersebut. Semua sumbangan ini adalah hasil keprihatinan daripada Ayam Penyet Best, CoolBlog, Gloria Jean’s Coffees, Harta EMS, McDonald’s, Marrybrown, OLDTOWN White Coffee, Pak John Steamboat & BBQ, Penyetpenyet.com, Sangkaya, Syed Bistro, Tealive, The Manhattan FISH MARKET, Teh Tarik Place, Uncle K, Bask Bear Coffee, Domino’s Pizza dan Jom Bento. Jumlah keseluruhan sumbangan bagi program ini adalah bernilai lebih RM60, 000 yang terdiri daripada sumbangan makanan, minuman, makanan kering, dan lain-lain.

Radzali turut berkata, MFA akan terus mengambil inisiatif untuk memberikan sumbangan seumpama ini pada masa hadapan sebagai sokongan penggiat francais kepada barisan hadapan dan komuniti dalam menghadapi kemelut pandemik COVID-19. 

http://mrembm.bernama.com/viewsm.php?idm=14691

No comments:

Post a Comment