Tuesday, June 15, 2021

RUMAH DATO' HAJI AHMAD MAHER KHAZANAH WARISAN PERLU DIPELIHARA

BACHOK, 14 Jun (Bernama) — Keindahan senibina rekabentuk Rumah Dato’ Haji Ahmad Maher yang tersergam indah di Kampung Wakaf Siku di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan, pasti mencuri perhatian ramai ketika melewati kediaman yang sudah pun menjangkau usia 80 tahun.

Ramai terpesona dengan konsep senibina yang diinspirasikan daripada rekabentuk rumah agam yang diperbuat daripada konkrit menjadikan struktur rumah tersebut masih kukuh sehingga sekarang.

Rumah ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan negeri disebabkan nilai estetika serta sentimental sejarahnya. Hal ini penting bagi memaparkan budaya sesuatu masyarakat setempat malah bangunan warisan merupakan aset yang sangat berharga.

Allahyarham Dato’Ahmad Maher atau nama penuh beliau ialah Haji Ahmad Maher Bin Haji Ismail Al Azhari Bin Haji Abdul Hamid, adalah bekas Mufti Kelantan ke-7 Dato’ yang berketurunan Melayu jati merupakan anak kepada Haji Ismail Al-Azhari atau Tok Kemuning atau Tok Kemuning Muda.

Dato’ Haji Ahmad Maher dilahirkan pada tahun 1324 Hijriah (1905 Masihi) di Maa’la, Mekah. Dari segi pendidikan, beliau mempunyai ramai tokoh ulama nusantara termasuk Tok Kenali, Tok Khurasan, Haji Yaakob Bin Ahmad dan lain-lain lagi.

Dato’ Ahmad Maher seorang Mufti yang mempunyai banyak kebolehan kerana di samping sebagai seorang yang alim dalam berbagai-bagai ilmu Islam dan ilmu-ilmu alat, beliau juga seorang pentadbir yang cekap dan berdedikasi.

Selama tempoh perkhidmatannya selaku Nazir Pelajaran MAIK, beliau telah mengadakan beberapa pembaharuan dalam sistem kurikulum pengajian halaqah kitab di Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Rumah Dato’ Ahmad Maher mendapat perhatian oleh penyelidik di Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk kajian ilmiah supaya diambil perhatian untuk kerja-kerja untuk pemeliharaan agar khazanah warisan ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

RUMAH DATO’ HAJI AHMAD MAHER KHAZANAH WARISAN PERLU DIPELIHARA

No comments:

Post a Comment