Monday, October 22, 2018

AXA Merchantrade Insure lindungi lebih 13,000 pekerja asing

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) – AXA Affin General Insurance Bhd dengan kerjasama Merchantrade Asia Sdn Bhd telah menginsuranskan lebih 13,000 pekerja asing menerusi pelan Merchantrade Insure.


Pelan insurans khas untuk pekerja asing itu yang dilancarkan Mei lepas, menawarkan bayaran tuntutan secara terus kepada penerima faedah.


Ketua Pegawai Eksekutif AXA Emmanuel Nivet berkata sejak lima bulan dilancarkan jumlah keseluruhan yang diinsuranskan telah melebihi RM100 juta.


“Kejayaan ini menunjukkan matlamat kami untuk memperkasakan orang ramai bagi menjalani kehidupan lebih baik menerusi kemasukan kewangan, tetapi lebih penting lagi, ia membuktikan komitmen berterusan kami untuk merapatkan jurang perlindungan dalam kalangan yang kurang mendapat perhatian.


“Kami di AXA berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan, dan memastikan perlindungan yang cukup untuk pekerja asing dan insan tersayang mereka.

“Bersama-sama dengan rakan kongsi kami Merchantrade, kami kekal komited untuk memanjangkan perlindungan kepada golongan ini,” kata Nivet dalam satu kenyataan hari ini.


Merchantrade Insure ditaja jamin oleh AXA dan diedarkan secara eksklusif oleh Merchantrade, dan faedahnya termasuk pembayaran RM9,000 bagi kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal, dan RM50 sehari (bagi jumlah keseluruhan RM1,000) jika dimasukkan ke hospital disebabkan oleh kemalangan.


Merchantrade Insure kini didapati di 83 cawangan Merchantrade seluruh negara. 


Maklumat lanjut boleh dapati di www.mtradeasia.com atau menghubungi cawangan terdekat. 


-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment