Friday, October 5, 2018

ENVIRO ASIA SASAR PENGGUNAAN MELUAS ALAT PEMANTAU KUALITI UDARA


KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Enviro Group Asia, syarikat perunding dan penyedia perkhidmatan pengurusan kualiti alam sekitar melalui anak syarikat Enviroverks Malaysia, menyasarkan 50 bangunan menggunakan produk baharunya 'Enviro IntelliAQ' pada akhir 2019.
Ketua Eksekutif Kumpulan Enviro Group Asia, Nitesh Malani berkata beliau yakin inovasi  produk alat pengawasan kualiti udara baharu itu mempunyai potensi pasaran yang besar berikutan pertumbuhan pesat industri binaan di Malaysia.

“Kita menghabiskan lebih daripada 80 peratus masa di dalam bangunan.

“Sindrom bangunan sakit atau yang berkaitan dengannya menjadi kebimbangan bagi kebanyakan penghuni bangunan kerana ramai yang telah jatuh sakit kerana kualiti udara dalaman yang tidak baik," katanya kepada Bernama di pelancaran sistem Enviro InteliAQ di sini, hari ini, yang menyaksikan kumpulan itu menjalin kerjasama dengan hotel Alila Bangsar Kuala Lumpur.

Nitesh berkata Malaysia adalah negara pertama yang melancarkan Enviro IntelliAQ sebelum ia diperkenalkan ke pasaran rantau lain.

Enviro IntelliAQ yang dikuasakan oleh uHoo, hasil inovasi syarikat pemula Singapura yang mengesan kualiti udara dalaman, mempunyai keupayaan kejuruteraan sembilan sensor kualiti udara dalam peranti sekecil saiz cawan kopi.

Ia dikuasakan oleh pemproses berasaskan teknologi Advanced RISC Machine (ARM) berprestasi tinggi yang dapat membantu pengurus bangunan mengukur dan mengurus kualiti udara dalaman.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment