Wednesday, October 31, 2018

Muhamad Shahril dilantik anggota lembaga pengarah Danajamin

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) – Danajamin Nasional Bhd (Danajamin) melantik Muhamad Shahril Othman sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif, berkuat kuasa 19 Okt, 2018. 

“Kami yakin pengalaman luas Muhamad Shahril termasuk dalam pelaburan dan pembiayaan, akan melengkapkan anggota lembaga pengarah sedia ada kami.

"Ini akan membolehkan kami melangkah ke peringkat pertumbuhan yang seterusnya dan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kami sebagai penanggung insurans jaminan kewangan negara pertama," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin, Mohamed Nazri Omar, dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Shahril memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (Pemasaran) dari Universiti Teknologi MARA, dan ijazah sarjana dalam Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa dari University of Queensland, Australia.

Beliau kini berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai setiausaha sulit kanan kepada ketua setiausaha perbendaharaan.
--BERNAMA 

No comments:

Post a Comment