Thursday, October 11, 2018

PROGRAM INTERNARY ACCA PERCEPAT PENGHASILAN AKAUNTAN PROFESIONAL


PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) hari ini secara rasmi melancarkan Program ACCA INternary, sebuah kerjasama badan profesional akademik-industri-profesional yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Program ACCA INternary menyediakan mahasiswa ijazah Perakaunan dengan laluan yang dipercepatkan untuk menduduki kelayakan profesional sambil melengkapkan pengalaman perindustrian yang diperlukan untuk melayakkan diri sebagai ahli ACCA, semuanya dalam masa dua tahun selepas tamat pengajian universiti.

Ketua Pendidikan ACCA Malaysia, Helmy Mohtar berkata, program itu menyatukan majikan dan universiti awam untuk menyediakan siswazah yang serba lengkap untuk industri dan bersedia untuk layak sebagai akauntan profesional.

"Program ini sebenarnya merupakan mod pembelajaran 3u1i di mana pelajar akan belajar di kampus selama tiga tahun dan menghadiri latihan amali industri selama satu tahun disamping mendapatkan kelayakan ACCA," katanya kepada media selepas pelancaran program tersebut di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Noor Azizi Ismail.

Helmy berkata inisiatif ACCA INternary disokong oleh Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi MARA serta lapan majikan.

"Lapan majikan elit (dalam program) adalah Baker Tilly Monteiro Heng, Ernst & Young, Deloitte, Grant Thornton KPMG, Maybank, Paramount Corp dan PWC," katanya.

Beliau berkata komitmen majikan untuk menyokong latihan selama setahun akan memberikan para pelajar pengalaman yang relevan ke arah kelayakan sebagai anggota ACCA dan potensi ke alam pekerjaan.

-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment