Monday, October 22, 2018

Hainan bakal jadi FTZ menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- China merancang untuk menjadikan Hainan, wilayah selatan negara itu, sebagai zon perdagangan bebas (FTZ), dalam langkah terbaharu untuk membuka lagi ekonomi negara itu.
Rancangan berkenaan diumumkan Majlis Negara, kabinet China, yang telah menetapkan sasaran dan skop bagi pelan pembangunan FTZ itu, di samping mengenal pasti industri-industri utama yang akan menyaksikan sekatan-sekatan terhadap pelaburan asing semakin berkurangan, menurut satu kenyataan.
Hainan, katanya, bakal menjadi FTZ berkualiti tinggi yang menggalakkan kemudahan perdagangan dan pelaburan, menyediakan persekitaran undang-undang yang sangat baik, perkhidmatan kewangan yang menyeluruh, peraturan yang cekap, persekitaran ekologi yang menggalakkan, dan meningkatkan pembangunan bagi kawasan di sekitarnya.
“Pelabur-pelabur asing akan mempunyai akses yang lebih luas dalam beberapa bidang utama termasuk pelancongan, pendidikan, dan telekomunikasi,” menurut kenyataan itu.
Satu pendekatan senarai negatif iaitu senarai perkhidmatan yang dikecualikan daripada cukai perkhidmatan, yang menggariskan bidang ekonomi yang terhad bagi pelaburan asing, akan diguna pakai di FTZ Hainan.
Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada dasar-dasar pembukaannya, China telah mengumumkan satu senarai negatif yang baharu pada Jun untuk pelaburan asing dalam FTZ, dengan jumlah barangan dikurangkan kepada 45 daripada 95 dalam versi sebelum ini.
Rancangan itu juga memberi Hainan lebih autonomi dalam memberikan akses pelaburan asing.
Perniagaan antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan telekomunikasi nilai ditambah tidak lagi perlu melalui pihak berkuasa berpusat untuk memasuki pasaran, menurut pelan itu.
Bagi menggalakkan perdagangan antarabangsa, sistem berasaskan data akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan kastam manakala syarikat-syarikat multinasional dan perdagangan digalak untuk menganggap Hainan sebagai pusat bagi rangkaian perdagangan global atau serantau mereka.
Satu daripada ciri-ciri utama bagi pelan pembangunan FTZ Hainan adalah ia mengambil kira ciri-ciri yang berbeza di Hainan, kata Naib Menteri bagi Perdagangan Wang Shouwen, dalam kenyataan itu yang dipetik sebagai berkata pada satu sidang media.
Syarikat-syarikat perkapalan domestik dan asing akan digalakkan untuk menubuhkan pusat operasi atau serantau di FTZ, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina kawasan itu menjadi sebuah hab perkapalan antarabangsa, katanya.
Pulau itu juga menarik sejumlah institusi perubatan termaju dan doktor-doktor asing hasil daripada peraturan yang dilonggarkan bagi pengimportan peralatan perubatan dan farmaseutikal asing, serta dasar-dasar visa yang dikeluarkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pelan itu diumumkan di laman web rasmi Majlis Negara bagi Republik Rakyat China (www.gov.cn).
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment