Thursday, October 11, 2018

Pendigitalan topik utama Persidangan HRINCAMPUS 2018

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Cabaran mencari dan mengekalkan graduan dalam pekerjaan serta perubahan di tempat kerja disebabkan pendigitalan menjadi perbincangan utama Persidangan HRINCAMPUS, di Sunway University hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Sektor Swasta), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Mohd Nor Azman Hassan dalam ucapan pembukaannya berkata kementerian berharap badan korporat dapat mereka tempat kerja yang lebih fleksibel dan pelbagai serta tahap hierarki yang lebih rendah.

“Kementerian berharap kita dapat meneruskan kerjasama erat dengan para pemegang kepentingan industri untuk mewujudkan tenaga kerja masa depan yang boleh menyokong kemajuan negara yang mampan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif HRINCAMPUS, Ben Ho berkata : “Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan platform kerjasama kukuh yang kami telah wujudkan menerusi persidangan HRINCAMPUS, serta pengalaman dan kepakaran yang pelbagai untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu semasa dan baru muncul yang memberi kesan kepada industri.”

Hari pertama persidangan telah menyaksikan para pengamal sumber manusia (HR) terkemuka berkongsi pengalaman mereka menerusi pembentangan dan perbincangan tentang isu-isu berkaitan pengambilan, pengurusan dan pengekalan graduan dalam pekerjaan.

Turut diadakan sempena persidangan dua hari itu ialah pelancaran Kelab Pusat Pembangunan Kerjaya Malaysia (CDCC) oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Sektor Awam), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

CDCC terdiri daripada lapan buah Universiti Teknikal Digital Utama dan lima buah Politeknik Teknikal Digital yang terpilih dari seluruh negara dengan misi untuk berkongsi amalan terbaik dalam kalangan pusat pembangunan kerjaya ke arah mengukuhkan tahap persediaan dan peluang kerjaya para graduan.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment