Thursday, October 11, 2018

TESCO KONGSI PENGETAHUAN ASAS HALAL

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Seramai 150 guru agama dari sekolah rendah dan menengah sekitar Kedah memeriahkan program jalan santai dan mencari harta karun bertema halal anjuran Tesco Malaysia baru-baru ini.
Pengarah Khidmat Korporat Tesco Malaysia Azliza Azmel berkata program kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tersebut bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan asas halal agar ia dapat disebarkan kepada masyarakat setempat.

“Tesco mengambil berat tentang isu halal dan kami berharap melalui program ini, kami dapat memberikan pendedahan kepada para pelanggan tentang prinsip halal yang dipraktikkan oleh Tesco dan jenis-jenis pensijilan halal yang terdapat pada pelbagai produk import dan tempatan termasuk barangan jenama Tesco yang dijual di dalam pasar raya kami ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara pengisian program tersebut adalah taklimat tentang amalan dan prinsip halal di Tesco dan pendedahan kepada aplikasi-aplikasi yang dibangunkan dalam penyebaran maklumat halal yang tepat di media sosial.

Peserta turut diperkenalkan dengan logo-logo halal antarabangsa diiktiraf JAKIM yang terdapat pada produk import dalam pasaran Tesco Malaysia menerusi aktiviti mencari harta karun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment