Wednesday, August 29, 2018

500 hadir Konvensyen Integriti anjuran PKNS

SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan usaha memartabatkan budaya intergriti dalam sistem tadbir urus korporat organisasinya menerusi penganjuran Konvensyen Integriti kali kelima dengan menerima lebih 500 penyertaan.

Bertemakan 'Pemerkasaan Integriti dan Tadbir Urus Korporat Terbaik’, konvensyen yang diadakan hari ini menampilkan panel penceramah seperti Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti-Rasuah, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar.

Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron berkata, inisiatif yang diambil PKNS merupakan langkah yang baik kerana boleh menjadi inspirasi buat semua warga kerja untuk mengamalkan integriti dan ketelusan.

“Bagi yang sudah pun berada di landasan seperti PKNS, saya harap dapat meneruskan momentum yang ada agar mampu muncul sebagai organisasi yang cemerlang dan disegani serta mendapat kepercayaan awam.

“Jadikan integriti sebagai satu pegangan yang akan kita semat dalam apa jua urusan yang dilakukan," katanya di majlis perasmian konvensyen tersebut yang diadakan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata konvensyen diadakan bagi menyebar luas capaian perkongsian dan kesedaran kepada lebih ramai masyarakat serta organisasi di dalam industri.

"Isu integriti seperti amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan sebagainya bukan satu isu baharu.Tidak kiralah organisasi besar mahupun syarikat kecil berisiko untuk terlibat di dalam sebarang ketidakpatuhan integriti.

"Sekecil-kecil ketirisan sekali pun mampu melumpuhkan kekuatan sebuah negara,” kata Noraida.

Untuk itu, katanya, PKNS mengambil inisiatif menubuhkan Bahagian Pengurusan Organisasi dan Integriti bagi memperkasakan sistem semak dan imbang di dalam setiap prosedur.

Konvensyen kali ini memberi tumpuan kepada isu-isu semasa rasuah dan integriti, selain penambahbaikan berterusan tadbir urus korporat dalam sektor awam serta swasta.

Turut dibincangkan pemerkasaan integriti dan tadbir urus korporat melalui Sistem Pengurusan Anti-Rasuah atau Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 370001, perkongsian amalan terbaik integriti di jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment