Monday, August 20, 2018

LEBIH 5,000 SERTAI KUIZ PERAKAUNAN MIA-SUNWAY



KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Kuiz Perakaunan anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Sunway TES CAE, anak syarikat Kumpulan Pendidikan Sunway baru-baru ini menarik penyertaan lebih 5,400 pelajar dari 500 sekolah di seluruh Malaysia.
MIA dalam kenyataannya berkata dalam pusingan akhir yang diadakan pada 11 Ogos lepas, pasukan KOK dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 13, Selangor muncul sebagai juara dalam kategori kumpulan.
Manakala Chin Joe Yee dari SMK Malim Nawar, Perak dinobatkan sebagai juara dalam kategori individu.
Ini adalah tahun keenam berturut-turut MIA menganjurkan kuiz bersama Sunway TES.
Kuiz untuk pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai salah satu aktiviti kokurikulum itu secara beransur-ansur menggabungkan elemen teknologi.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Mohd Rashid Mean berkata kuiz yang diadakan adalah inisiatif yang baik dan sejajar dengan trend Industri 4.0 di mana teknologi mengubah cara kerja dan kehidupan dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Nurmazilah Mahzan berkata walaupun prinsip asas dan konsep perakaunan yang dipelajari hari ini akan terus sah diguna pakai pada masa akan datang, cara kerja akauntan akan menjadi sangat berbeza.
"Kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, blockchain, perkomputeran awan dan analisis data, akan membuang bahagian kerja yang membosankan. Anda akan melakukan kerja yang memerlukan pertimbangan, kemahiran berfikir dan integriti, serta kemahiran komunikasi," katanya.
Beliau berkata kuiz yang diadakan akan menjadi titik permulaan untuk mengilhami bakat muda meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan kerana negara memerlukan 60,000 akauntan menjelang 2030.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment