Wednesday, August 1, 2018

Pelajar Malaysia dipelawa sertai anugerah kreatif Gatsby di Tokyo

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Mandom Corporation, pengeluar dan pengedar produk penjagaan rambut, kulit, minyak wangi dan deodoran dari Jepun, mempelawa pelajar kreatif termasuk dari Malaysia untuk mengemukakan penyertaan bagi Anugerah Kreatif Gatsby Ke-13.

Finalis bagi anugerah itu akan menyertai pertandingan akhir di Shibuya Tokyo, pada Mac 2019.

Acara itu akan memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi di peringkat antarabangsa, melalui medium kreativiti mereka.

Dalam satu kenyataan, Mandom Corporation berkata syarikat mempelawa pelajar dari Kemboja, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mongolia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand untuk mengemukakan penyertaan mereka.

Anugerah itu, yang menonjolkan keseronokan dalam dandanan dan kreativiti peribadi dalam kalangan generasi muda, akan membolehkan pelajar di kawasan sasaran untuk turut serta dengan mudah, dengan menggunakan YouTube, Twitter, dan Instagram.

Menurut kenyataan itu, terdapat lima kategori penyertaan dengan kategori kemasukan dan tempoh penyertaan bagi CM dan kesenian diterima mulai 1 Ogos hingga 14 Okt manakala tarian, muzik dan foto, penyertaan diterima mulai 15 Okt hingga 2 Dis.

Kelayakan penyertaan ialah pelajar yang berdaftar di sekolah menengah, sekolah vokasional, kolej komuniti, kolej atau universiti serta merupakan warganegara dan menetap dalam kawasan sasaran.

Anugerah Kreatif Gatsby bermula apabila GATSBY, jenama kosmetik lelaki yang memperluaskan bahagian pasaran mereka di Asia, mahu menyokong dan menggalakkan golongan muda.

Anugerah itu, yang merupakan antara yang terbesar seumpamanya di Asia, bertujuan untuk memperluaskan kesedaran mengenai karya kreatif yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diapati di laman web rasmi https://award.gatsby.jp/sg.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment