Thursday, August 2, 2018

Cushman & Wakefield umum harga IPO pada US$17 sesaham

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Cushman & Wakefield plc (Cushman & Wakefield) mengumumkan penetapan harga tawaran awam permulaan (IPO) bagi 45 juta saham biasanya pada US$17 (RM69.19) sesaham yang ditawarkan kepada orang ramai. (US$1 = RM 4.07)

Saham-saham tersebut akan disenaraikan di Bursa Saham New York mulai 2 Ogos ini.

Cushman & Wakefield akan menggunakan hasil bersih daripada saham biasa yang ditawarkan itu untuk mengurangkan hutang terkumpul, khususnya bagi membayar balik pinjaman lien kedua, menjelaskan jumlah tertunggak bagi kewajipan pembayaran tertunda yang berkaitan dengan pemerolehannya ke atas Cassidy Turley serta mana-mana hasil bersih yang ada untuk tujuan korporat am.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ia telah memberikan penaja jaminan dengan opsyen 30 hari untuk membeli tambahan sehingga 6.75 juta saham biasa pada harga tawaran awam setelah ditolak diskaun dan komisen penaja jaminan.

Morgan Stanley, J.P. Morgan, Goldman Sachs & Co. LLC dan UBS Investment Bank bertindak sebagai pengurus penaja jaminan utama bersama dan wakil-wakil bagi penaja jaminan untuk penawaran tersebut, katanya.

Cushman & Wakefield adalah antara firma perkhidmatan hartanah terbesar dengan 48,000 pekerja di kira-kira 400 pejabat di 70 negara.

Firma itu memperoleh hasil sebanyak US$6.9 bilion merentasi perkhidmatan teras iaitu hartanah, kemudahan dan pengurusan projek, pajakan, pasaran modal, penilaian dan perkhidmatan lain pada 2017.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment