Wednesday, August 15, 2018

Petronas, Sabah, Negeri Sembilan terima Anugerah Inovasi Global

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan Kerajaan Negeri Sembilan telah dipilih memenangi anugerah teknologi global, mengatasi lebih daripada 100,000 calon antarabangsa lain.

Esri Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketiga-tiga organisasi Malaysia itu memenangi Anugerah Khas Esri dalam Sistem Maklumat Geografi yang mengiktiraf penggunaan kreatif sistem teknologi maklumat (GIS) untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, CS Tan berkata pencapaian ketara tiga organisasi itu akan memberi inspirasi kepada dunia tentang penggunaan teknologi GIS dalam operasi.

"Anugerah ini telah menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia kian pantas menjadi kuasa global untuk inovasi teknikal," katanya.

Anugerah disampaikan oleh Jack Dangermond, pengasas dan presiden syarikat pemetaan global Esri, di Persidangan Pengguna Antarabangsa Esri 2018 di San Diego pada 11 Julai lepas.

"Organisasi-organisasi Malaysia dipuji kerana menunjukkan visi dan kepemimpinan ke hadapan yang boleh dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada komuniti," tambah Tan.

Petronas menerima anugerah kerana menggunakan teknologi GIS yang inovatif dalam segmen eksplorasi ke arah mengoptimumkan operasi merentasi perniagaan.

Teknologi tersebut digunakan dalam platform penerokaan yang komprehensif dan berintegrasi yang berupaya meningkatkan peluang pemprosesan penilaian dan membolehkan pembuatan keputusan yang lebih cekap.

Sementara itu, anugerah untuk kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah melibatkan reka bentuk bandar raya dan penyampaian perkhidmatan pintar.

Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menggunakan teknologi GIS untuk menyokong sistem Aplikasi Peta Web Jabatan Tanah (JTUWMA) yang menyatukan dan menganalisis maklumat tanah. Ia  membolehkan pihak pentadbir dan orang awam mempunyai pemahaman yang jelas mengenai aspek pembangunan hartanah.

Manakala kerajaan Negeri Sembilan pula membangunkan platform pangkalan data GIS9 yang mengintegrasi dan menganalisis sejumlah besar data untuk meningkatkan keupayaan membuat keputusan dan perkongsian data di semua jabatannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment