Thursday, November 2, 2023

LEBIH 2,000 SERTAI LARIAN NORTHERN STATSRUN 2023

 

YB Puan Fadhlina Binti Sidek, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal telah menyempurnakan program Northern StatsRun 2023, turut hadir YBhg. Datin Seri Rozita binti Talha, Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia. 

NIBONG TEBAL, Pulau Pinang, 30 Okt (Bernama) -- Seramai lebih 2,000 orang telah menyertai Northern StatsRun 2023 yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Program ini merupakan StatsRun ke-8 yang dianjurkan seumpanya oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan buat julung kalinya diadakan di wilayah utara.

YB Puan Fadhlina Binti Sidek, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen P047 Nibong Tebal telah menyempurnakan program Northern StatsRun 2023 dengan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori 10 km. Terdahulu peserta larian telah dilepaskan oleh YB Tuan H’Ng Mooi Lye, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi. Program ini turut dihadiri YBhg. Datin Seri Rozita binti Talha, Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia serta Ketua Jabatan/ Agensi di Daerah Seberang Perai Selatan.

Northern StatsRun 2023 merupakan program yang dianjurkan secara bersama antara DOSM Negeri Pulau Pinang dengan DOSM Negeri wilayah utara iaitu DOSM Perak, DOSM Kedah dan DOSM Perlis.

Program larian ini terbahagi kepada dua kategori iaitu 10 km yang keunikan laluan lariannya merentasi tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah dan berakhir di Pulau Pinang serta 5 km Fun Run. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran statistik dalam kalangan masyarakat, meningkatkan jalinan kerjasama bersama komuniti dan pengamal media massa dan menggalakkan budaya hidup sihat di samping mempromosikan aktiviti DOSM berimpak tinggi iaitu Hari Statistik Negara 2023, Banci Ekonomi 2023 dan Banci Pertanian 2024.

Program Northern StatsRun 2023 ini telah menerima pendaftaran daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada masyarakat awam, agensi swasta/ syarikat korporat, Institut Pengajian Tinggi, pelajar sekolah, anggota perkhidmatan awam serta warga DOSM.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan semasa program tersebut iaitu senamrobik, pameran daripada agensi kerajaan dan swasta serta hadiah menarik turut disampaikan dalam acara cabutan bertuah. Program ini selesai pada pukul 10.30 pagi dengan program penyampaian hadiah kepada pemenang larian 10 km mengikut kategori.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17594

No comments:

Post a Comment